Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL di Temerloh.

65 ruang niaga untuk usahawan di ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB), syarikat pengeoperasian dan penyelenggara Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menganjurkan Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL bagi menawarkan 65 ruang niaga dan 35 pakej pengurusan fasiliti kepada usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL.

Program berkenaan, yang diadakan dari 28 September dan berakhir hari ini melibatkan lima lokasi iaitu Pasir Puteh, Kelantan; Marang dan Dungun, Terengganu; serta Temerloh dan Kuantan di Pahang.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kontraktor tempatan mengenai peluang perniagaan dan pengurusan fasiliti dalam ekosistem pengoperasian ECRL.

Sebanyak 65 ruang niaga seperti kiosk dan pushcart akan disediakan di stesen-stesen ECRL bagi menawarkan produk makanan dan minuman, barangan runcit dan keperluan perjalanan, produk tempatan, cenderamata serta perkhidmatan berkaitan penumpang.

Sementara itu, 35 pakej pengurusan fasiliti telah dikenal pasti untuk ditawarkan kepada kontraktor tempatan dengan nilai keseluruhan kontrak dianggarkan sebanyak RM12.7 juta untuk tahun 2027.

Ia merangkumi perkhidmatan pembersihan premis, penyelenggaraan landskap, kawalan makhluk perosak, penyelenggaraan am bangunan dan penyelenggaraan sistem penyaman udara.

Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd. Zaidi Sharif berkata, penglibatan usahawan dan kontraktor tempatan merupakan komponen penting dalam membentuk ekosistem pengoperasian ECRL yang kukuh dan mampan.

“Pengoperasian rangkaian ECRL memerlukan sokongan daripada pelbagai penyedia perkhidmatan bagi memastikan stesen, bangunan dan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih, selesa dan berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di