ALOR GAJAH – Jentera Barisan Nasional (BN) ditegaskan untuk menjawab setiap naratif yang dibangkitkan pihak lawan di media sosial khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya tidak mahu jentera sekadar bersikap bertahan, sebaliknya perlu bertindak segera dalam menghadapi sebarang isu.
“Yang penting pada saya ialah kita jangan bertahan, kita kena jawab dan serang balik. Bila mereka membina naratif yang tertentu, maka kita kena segera menjawab balik,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai serangan terhadap parti itu di media sosial yang mungkin memberi kesan terhadap kesiapsiagaan jentera menghadapi PRN Melaka.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan projek siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Ujarnya lagi, pendekatan itu turut digerakkan menerusi pasukan media sosial di bawah War Room UMNO dan Penerangan yang telah diaktifkan sebelum ini.
“Yang ini di bawah War Room kita ada Penerangan. Di bawah Penerangan ada media sosial, dan kita telah mengaktifkan sebelum ini lagi. Sebaik selepas Johor, lepas itu kita beralih ke Negeri Sembilan, lepas itu kita beralih ke Melaka, sudah pun diaktifkan. Ada pasukan kita yang tertentulah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














