ALAM pekerjaan tidak pernah menjamin kestabilan dan kekekalan.
Bak kata pepatah langit tidak selalunya cerah, begitu juga dengan kehidupan sebagai seorang pekerja.
Ada yang diuji dengan musibah seperti pemberhentian kerja secara mengejut akibat masalah ekonomi, penstrukturan semula syarikat atau krisis lain tidak dijangka.
ARTIKEL BERKAITAN: Teruja dapat kunci rumah baharu? Ini panduan lengkapkan kediaman anda guna bajet bawah RM10,000
Situasi ini secara tidak langsung memberi tekanan apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Pastinya buntu untuk mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan sebelum mendapat pekerjaan baharu.
Di laman X, pemilik akaun @pelabur_bijak berkongsi enam cara bagaimana menjana wang dalam tempoh singkat, yang boleh menjadi penyelamat bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan.
Menjadi rider atau personal shopper merupakan antara alternatif untuk menjana pendapatan. -Gambar hiasan
1. Jual barang dalam rumah
Contohnya kipas lama, laptop, kamera, kasut bundle atau apa sahaja yang sesuai. Kongsikan di FB Marketplace, Carousell, Mudah atau media sosial. Ini salah satu cara mendapatkan wang tunai dalam masa singkat.
2. Servis upah
Ketepikan rasa malu, cuba bertanya kepada rakan, kenalan atau jiran yang memerlukan servis membersihkan rumah, lipat kain dan sebagainya.
Membersihkan rumah merupakan alternatif meraih wang dengan cara pantas. -Gambar hiasan
3. Gunakan kemahiran yang ada
Jika anda ada kemahiran buat design poster, kad kahwin, membaiki pulih kerosakan barangan elektrik dan sebagainya, inilah masa untuk menjana pendapatan dalam masa singkat.
4. Runner atau penghantar barang
Servis ini sangat diperlukan oleh kebanyakan peniaga contohnya bengkel kereta, kedai kek, kedai bunga dan sebagainya. Bayaran satu trip lazimnya sekitar RM20-RM50.
5. Servis 'peneman' atau personal shopper
Ramai yang terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai masa untuk membeli barang dapur atau barang lain, menemani ketika temu janji di klinik dan sebagainya.
Bagi yang berkebolehan mengendalikan anak kecil boleh cuba mengambil upah sebagai babysitter. -Gambar hiasan
6. Jadi babysitter atau catsitter
Adakalanya ada ibu bapa atau individu yang mempunyai hal kecemasan dan memerlukan seseorang untuk menjaga anak ataupun si bulus mereka. Ambil bayaran mengikut jam.
Pendek kata, usah malu untuk mulakan dengan perkara-perkara yang kecil.
Dalam saat getir ini, kemampuan untuk bangkit dan mencari jalan keluar adalah perkara yang perlu diberi keutamaan.