RAMADAN merupakan bulan yang penuh keberkatan dan sentiasa dinanti-nantikan umat Islam kerana di dalamnya terdapat banyak peluang untuk menggandakan ibadah, membersihkan jiwa serta membentuk disipilin diri.
Bagaimanapun, dalam keghairahan itu, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian khususnya berkaitan pemakanan halal dan perkara syubhah selain mengelakkan pembaziran.
Pensyarah General Studies Department, Centre for Continuing Education (CCE), Sunway College, Muhammad Afif Zakwan Azhar menjelaskan, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia juga merupakan madrasah tarbiah yang mendidik umat Islam agar menjadi hamba yang lebih bertakwa.
“Hal ini selari dengan perintah ALLAH SWT agar manusia memakan makanan halal lagi baik kerana apa yang dimakan akan memberi kesan kepada ibadah, akhlak dan kehidupan seseorang,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.
Waspada aspek halal di bazar Ramadan, hotel
Hurainya, setiap kali menjelang bulan puasa, bazar Ramadan merupakan antara tempat utama yang sering menjadi tumpuan masyarakat dengan pelbagai juadah menarik ditawarkan dan suasana meriah yang mengundang keghairahan.
“Dalam hal ini, umat Islam perlu berwaspada dan mengutamakan aspek halal ketika membuat pembelian, bukan sekadar melihat kepada rupa makanan yang menarik atau harga yang murah.
“Kita perlu memastikan bahan, cara penyediaan serta penjual makanan tersebut mematuhi prinsip halal dan kebersihan.
“Sikap sambil lewa terhadap halal tidak seharusnya dipandang ringan dalam usaha menghayati ibadah puasa dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam konteks berbuka di hotel atau premis berskala besar pula, umat Islam perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam membuat pilihan.
“Sijil halal bukan sekadar logo, tetapi ia merupakan jaminan bahawa keseluruhan rantaian penyediaan makanan mematuhi piawaian halal yang ditetapkan,” jelasnya.
Tambah pensyarah itu, sikap mengambil mudah dengan alasan ‘sekadar berbuka’ atau ‘sekali-sekala’ perlu dielakkan kerana komitmen terhadap halal seharusnya menjadi amalan yang konsisten dalam kehidupan seharian umat Islam.
Hentikan budaya membazir ketika berbuka
Menyambung hujahnya, antara lain sikap yang perlu diberi perhatian juga ialah budaya pembaziran makanan yang sering berlaku sepanjang bulan Ramadan.
“Ada yang membeli makanan secara berlebihan ketika di bazar, namun akhirnya makanan yang banyak tersebut tidak dihabiskan dan terpaksa dibuang.
“Islam menekankan prinsip kesederhanaan dalam semua perkara termasuk dalam urusan makan dan minum,” jelasnya.
Oleh itu katanya, umat Islam diseru agar merancang pembelian dengan lebih bijak dan mengharagai rezeki yang telah dikurniakan ALLAH SWT.
Jauhi syubhah
Selain itu jelasnya, Muslim juga dituntut untuk menjauhkan diri daripada perkara yang syubhah atau meragukan, khususnya dalam urusan makan dan minum.
“Makanan yang status halalnya tidak jelas, sama ada dari segi sumber bahan, penyediaan atau pengendalian wajar dielakkan sebagai langkah berhati-hati.
Sebagai penutup, beliau berpesan bahawa Ramadan merupakan bulan yang mendidik umat Islam agar menjadi insan yang lebih bertakwa, beretika dan bertanggungjawab.
“Mengutamakan makanan halal, mengelakkan pembaziran, memilih premis yang mempunyai sijil halal serta menjauhkan diri daripada perkara syubhah merupakan antara manifestasi sebenar penghayatan Ramadan.
“Semoga Ramadan kali ini menjadi titik tolak kepada pembentukan gaya hidup yang lebih berdisiplin, beretika dan selari dengan ajaran Islam,” doanya kepada seluruh kaum Muslimin.