KENAIKAN harga ubat dan peranti perubatan yang dilaporkan mencecah antara 40 hingga 100 peratus seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad jelas menunjukkan kementeriannya telah mengambil kira situasi konflik perang yang berlaku di Asia Barat.
Kesan daripada konflik ini turut melibatkan kepada kenaikkan harga ubat di pasaran tempatan.
Dari sudut suara rakyat, terdapat beberapa harapan yang wajar diberi perhatian. Antaranya, kita berharap agar kerajaan dapat mengawal harga ubat bagi mengelakkan manipulasi oleh pihak tertentu.
Kawalan ini penting supaya tidak berlaku situasi di mana pihak pembekal atau farmasi mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
Mekanisme pemantauan harga yang lebih telus dan konsisten perlu dilaksanakan agar rakyat tidak terbeban.
Seterusnya, bantuan seperti subsidi kesihatan harap dapat diperluaskan terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Golongan B40 dan M40 amat terkesan apabila kos rawatan meningkat.
Oleh itu, bantuan seperti subsidi ubat, insentif rawatan atau penambahan peruntukan kepada hospital kerajaan boleh membantu meringankan beban.
Kita juga berharap agar maklumat yang jelas dan telus mengenai situasi bekalan ubat disampaikan agar rakyat tidak panik.
Komunikasi yang baik daripada pihak kementerian dapat mengelakkan penyebaran berita palsu serta pembelian panik yang boleh memburukkan keadaan.
Akhir sekali, rakyat sendiri perlu menjaga kesihatan agar tidak sakit.
Walaupun bunyinya agak lucu tetapi ada juga kebenarannya kerana pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan.
Amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, bersenam dan pemeriksaan kesihatan berkala boleh mengurangkan risiko penyakit.
Dan jika sakit, cubalah dapatkan rawatan dari hospital kerajaan terlebih dahulu kerana kosnya lebih rendah dan lebih terkawal.
Kesimpulannya, dalam menghadapi kenaikan harga ubat ini, rakyat berharap agar kebajikan mereka terus menjadi keutamaan.
Kerajaan perlu bertindak proaktif, manakala rakyat juga harus bersedia dan bijak mengurus kesihatan diri demi kesejahteraan bersama.