Tak salah jadi ustaz 'kaya'

Iklan
Seminggu ini timbul isu yang tidak sedap didengar apabila terdapat segelintir pihak dikatakan memanipulasikan dana umat Islam

SETIAP kali timbul kisah agamawan memandu atau menaiki kereta mewah bersama pemandu peribadi, memiliki rumah besar atau menjalankan perniagaan berjaya, akan muncul suara-suara sinis: “Patutkah ustaz hidup senang?”

Seolah-olah apabila seseorang membawa imej agama, dia mesti kekal sederhana dalam erti kata sempit, malah sesetengah ada yang menganggap kemiskinan itu lebih hampir kepada ketakwaan.

Iklan
Iklan

Persoalannya, salahkah agamawan atau ustaz menjadi kaya dan taraf hidupnya juga sedikit tinggi daripada kebiasaan?

Jawapannya tidak semudah ya atau tidak. Ini kerana dalam Islam, kekayaan bukanlah dosa dan kemiskinan juga bukanlah tiket automatik menuju syurga.

Iklan

Harta hanyalah alat. Apa yang menentukan nilai seseorang bukanlah berapa banyak harta dimiliki, tetapi bagaimana ia diperoleh, dibelanjakan dan dimanfaatkan.

Sejarah Islam sendiri membuktikan ramai sahabat Nabi SAW terdiri daripada golongan berada seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Iklan

Kekayaan mereka bukan cela, bahkan menjadi kekuatan ummah. Maka jika hari ini ada pendakwah, ustaz atau agamawan berjaya dalam perniagaan, penulisan, pelaburan atau kerjaya profesional, itu bukanlah kesalahan.

Bagaimanapun, dalam seminggu ini timbul isu yang tidak sedap didengar apabila terdapat segelintir pihak dikatakan memanipulasikan dana umat Islam iaitu zakat yang sepatutnya diagihkan kepada asnaf.

Walaupun telah dijawab oleh pusat zakat tersebut, namun timbul banyak keraguan seperti jumlah kutipan yang tidak didedahkan kepada awam sedangkan zakat merupakan kutipan daripada orang awam.

Antara lain juga, ejen yang mengutip zakat tersebut tiba-tiba menjadi kaya dengan rumah besar dan pelbagai kereta mewah seolah-olah mendapat durian runtuh sekelip mata, itu sangat meragukan kita semua.

Jika tiada penjelasan yang tuntas, meyakinkan dan data yang sahih untuk menangkis tuduhan tersebut, maka agamawan dan ustaz yang dilihat mewah akan sentiasa dituduh sebagai ‘penunggang agama’.

Jika benar dakwaan tersebut, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan siasatan lanjut dan heret mereka ke muka pengadilan.