TINDAKAN individu mengancam atau mencederakan anggota penguat kuasa semasa bertugas semakin membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.
Golongan ini termasuk polis, anggota pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan lain memainkan peranan penting memastikan ketenteraman awam.
Namun sejak kebelakangan ini beberapa insiden menunjukkan wujudnya kecenderungan segelintir pihak bertindak agresif terhadap anggota bertugas.
Antara kes dilaporkan termasuk kejadian pemandu merempuh sekatan jalan raya bagi mengelak pemeriksaan, individu menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dan tindakan melawan pegawai pihak berkuasa dalam operasi penguatkuasaan.
Lebih membimbangkan terdapat juga kes melibatkan penggunaan senjata atau objek berbahaya yang boleh mengancam nyawa anggota bertugas.
Situasi ini bukan sahaja membahayakan keselamatan anggota penguat kuasa, malah memberi risiko kepada orang awam yang berada di lokasi.
Jika tidak ditangani secara tegas ia berpotensi mencetuskan budaya tidak patuh kepada undang-undang serta menjejaskan kewibawaan pihak berkuasa.
Beberapa langkah wajar dipertimbangkan antaranya penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara lebih tegas terhadap individu yang mengancam atau mencederakan penjawat awam.
Selain itu, latihan keselamatan dan pengendalian situasi berisiko tinggi perlu dipertingkatkan dalam kalangan anggota penguat kuasa termasuk penggunaan peralatan perlindungan yang lebih efektif serta pendekatan taktikal bagi mengurangkan risiko kecederaan.
Kesedaran masyarakat perlu diperkasa melalui kempen pendidikan awam mengenai peranan dan tanggungjawab pihak berkuasa. Rakyat perlu memahami bahawa kerjasama dengan anggota bertugas adalah kunci kepada keselamatan bersama.
Penggunaan teknologi seperti kamera badan (body camera) juga boleh membantu meningkatkan ketelusan serta menjadi bukti dalam sebarang insiden yang berlaku.
Tindakan mencederakan atau mengancam pihak berkuasa bukan sahaja satu kesalahan serius, tetapi juga mencerminkan tahap disiplin masyarakat.