Kemelut Negeri Sembilan akan diselesaikan secara politik

Iklan
Ahmad Zahid - Foto fail Bernama

CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kemelut pentadbiran Negeri Sembilan yang hangat ketika ini akan diselesaikan secara politik.

Beliau berkata, parti tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun undang-undang adat Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

"Kita akan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan sebuah kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Iklan

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Sebelum itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungai Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato' Klana Petra di luak berkenaan.

Berikutan krisis tersebut, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, yang menolak sebarang usaha menubuhkan kerajaan melalui kaedah ‘tebuk atap’, Ahmad Zahid berpandangan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu diadakan.

"Itulah sebabnya perbincangan dengan Perdana Menteri itu penting.

"Masalah politik harus diselesaikan secara politik, bukan dengan cara lain," jelas beliau.

Ketika diasak mengenai maklumat perbincangan bersama Anwar, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mengulas mengenai kemungkinan wujud kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, beliau menegaskan undang-undang Negeri Sembilan tidak semudah itu.

"Saya harap kita ikuti undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri, khususnya di Negeri Sembilan.

"Pada hemat saya, tidak semudah itu dan yang paling baik ialah mengikuti semua peraturan serta prosedur bagi memastikan ia dipatuhi terlebih dahulu," jelasnya.