Krisis Negeri Sembilan: ADUN UMNO lain buat 'u-turn' isi kekosongan jawatan Exco?

Iklan
Dakwaan berkenaan empat ADUN UMNO akan mengisi kekosongan jawatan Exco mula 'tular' di media sosial. Gambar kiri: Mohd Asna

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Baru semalam empat Exco kerajaan Negeri Sembilan daripada UMNO memulangkan segala aset dan kenderaan rasmi, kini muncul pula dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO lain yang akan mengisi kekosongan tersebut.

Antara nama yang menjadi sebutan ialah ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin yang juga memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Mohd Asna dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terbabit.

Namun, beliau menegaskan akan terus mematuhi segala arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

“Apa-apa pun, saya sebagai ahli parti akan tetap setia dengan segala arahan daripada Presiden,” katanya ringkas.

Selain Mohd Asna, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi turut disebut-disebut.

Iklan

Muhammad Sufian bagaimanapun menafikan perkara itu dan menegaskan akan akur dengan apa jua keputusan parti.

"Insya-ALLAH saya tetap akur dengan keputusan parti dan bersama Pengerusi UMNO Negeri Sembilan. Doakan bersama yang terbaik," tulisnya di Facebook.

Selain itu, Mohd Zaidy di Facebooknya turut membuat penafian dan berkata, pendiriannya jelas taat setia kepada parti serta akur kepada keputusan pucuk pimpinan.

"Segala khabar angin yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Untuk rekod sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang merupakan ADUN Pertang, menggalas portfolio Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, selain berperanan sebagai Exco Kanan.

ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim (Exco Bertindak Pendidikan dan Modal Insan) dan ADUN Palong, Mustapha Nagoor (Exco Pembangunan Belia dan Sukan).

ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli pula memegang portfolio Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital.

Pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan, Barisan Nasional(BN) memang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi yang mana kesemuanya ditandingi oleh UMNO.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP 11 kerusi, PKR lima kerusi dan satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah).

PN memang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.