Adik Khairil Izani masih belum ditemui

Iklan
Operasi mencari seorang kanak-kanak lelaki, Khairil Izani Khaizalullinordin, 10, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam di sini diperluaskan sehingga radius lima kilometer

KUALA SELANGOR - Operasi mencari seorang kanak-kanak lelaki, Khairil Izani Khaizalullinordin, 10,  yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam di sini diperluaskan sehingga radius lima kilometer dengan tumpuan pencarian sepanjang laluan air hingga ke Taman Industri Alam Jaya pada Rabu.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Azreel Izaidi Ahamad berkata, pencarian bermula dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di Lorong Cakera Purnama 12/30, Taman Puncak Alam Fasa 3.

Iklan
Iklan

"Kaedah pencarian dibuat berdasarkan aliran air berikutan arus deras yang dipercayai menghanyutkan mangsa.

"Pencarian dibuat mengikut laluan air dan kita turut meneliti kemungkinan terdapat pecahan aliran di beberapa bahagian termasuk di kawasan sekitar," katanya di lokasi pusat kawalan operasi di sini pada Rabu.

Iklan

Suasana sekitar pusat kawalan operasi di sini pada Rabu.

Katanya, operasi semalam ditamatkan kira-kira jam 4.30 pagi sebelum disambung semula pada jam 8 pagi ini.

Iklan

"Seramai 19 anggota terlibat membabitkan Balai Bomba Bestari Jaya, Pasukan Penyelamat Di Air (PDA) serta Unit K9 serta pihak polis," katanya.

Menurutnya, pencarian hari ini memberi fokus kepada Unit K9 di lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh iaitu di titik dikenali sebagai Point C.

"Unit K9 akan mengesan sebarang petunjuk atau kesan sebelum pencarian diteruskan ke kawasan seterusnya.

"Operasi turut melibatkan pemeriksaan di laluan culvert serta longkang di lokasi berdekatan," katanya.

Tambahnya, setakat ini, kawasan awal telah diperiksa beberapa kali termasuk oleh anggota dan juga bapa mangsa, namun tiada sebarang penemuan diperoleh.

"Kaedah pencarian di culvert tidak melibatkan selaman berikutan paras air yang rendah, sebaliknya anggota hanya menyusuri kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, pasukan PDA dan skuba bomba telah melakukan selaman di kawasan lebih dalam semalam dan hari ini kita ulang semula pemeriksaan di lokasi berkenaan,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan turut dilakukan di laluan bawah tanah termasuk manhole dari Point C hingga ke kawasan hadapan yang mempunyai selekoh.

"Selepas Unit K9 selesai, mereka akan bergabung dengan pasukan lain untuk menyusuri kawasan seterusnya sehingga ke muara pertemuan sungai kecil dengan Sungai Buloh.

Azreel berkata, operasi selaman bergantung kepada keadaan semasa air dan akan dilaksanakan jika perlu.

"Operasi dijalankan mengikut pelan tindakan insiden secara berperingkat dengan keutamaan diberikan berdasarkan situasi semasa," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 10 tahun itu dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam petang Selasa.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.47 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba di lokasi kejadian pada 8.13 malam.

Laporan daripada orang awam mengatakan mangsa jatuh ke dalam longkang pada 3.30 petang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat.