TAWAU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Tawau-Bombalai di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal yang ditunggang mangsa dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki 39 tahun.
"Hasil siasatan mendapati pemandu sedang memandu dari arah bandar Tawau menuju ke Benta Wawasan, manakala mangsa datang dari arah Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai menuju ke Kompleks Sukan Tawau.
"Sebaik tiba di satu jalan lurus, pemandu dipercayai telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan seterusnya melanggar penunggang motosikal yang datang dari arah hadapan.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan.
"Pemandu tersebut turut akan direman bagi membantu siasatan," katanya.
Jasmin dalam pada itu turut menasihatkan supaya pemandu tidak sesekali memintas kenderaan lain tanpa memastikan laluan benar-benar selamat dan bebas daripada kenderaan dari arah bertentangan.
"Tindakan cuai dan berbahaya akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas tanpa sebarang kompromi," tegasnya.