KUANTAN - Empat individu, termasuk pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka, maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (arah timur), di Lanchang, Temerloh, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata tiga beranak yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun.
Katanya, ketiga-tiga mangsa ketika kejadian menaiki sebuah Proton S70 dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor. Mangsa merupakan penumpang sebuah Honda CR-V yang dipandu lelaki berusia 18 tahun, iaitu anaknya.
Menurut Azry Akmar, polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada kira-kira 10.55 malam, membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan simen, sebuah bas dan sembilan kereta yang bergerak ke arah timur.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas lori tangki berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang ketika itu bergerak perlahan.
"Susulan pelanggaran itu, pemandu Honda CR-V berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah, manakala bapanya, Beng Wain, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu Proton S70 bersama isteri dan anak lelaki mereka turut disahkan maut di lokasi," katanya.
Beliau berkata, pemandu lori tangki turut mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.
Sementara itu, pemandu serta penumpang daripada lapan kenderaan lain, termasuk sebuah bas ekspres dan tujuh kenderaan lain, dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
"Kesemua mangsa dihantar ke HoSHAH, Temerloh untuk mendapatkan rawatan, manakala bedah siasat mangsa yang maut dijalankan pagi ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.