Abang kejar kereta teman lelaki adik kandung sebelum kemalangan

SERDANG - Perselisihan faham melibatkan hal keluarga dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 308 Lebuhraya Utara Selatan, Kampar, Perak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan satu kejadian di mana pengadu berumur 24 tahun mendakwa terserempak dengan teman lelakinya bersama seorang wanita yang dikenali di sebuah pasar raya kira-kira jam 3.30 petang.
Beliau berkata, kejadian tersebut kemudiannya mengakibatkan berlakunya pertengkaran mulut antara mereka.
"Wanita itu kemudian bertindak memukul pengadu menggunakan tangan hingga cedera di muka.
"Teman lelaki pengadu cuba meleraikan, namun berlaku pergelutan ketika pengadu cuba mengambil telefon bimbit wanita tersebut sebelum telefon itu terjatuh serta rosak," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, teman lelaki pengadu menawarkan diri untuk menghantar pengadu pulang ke rumah bersama wanita yang memukulnya.
"Bagaimanapun, lelaki itu memandu ke arah kampungnya dan bukan ke rumah pengadu.
"Dalam perjalanan, berlaku pertengkaran antara mereka bertiga, pengadu mendakwa telah dipukul oleh kedua-dua mereka sebelum berpatah balik ke rumah pengadu di Bandar Baru Sri Petaling," katanya.
Menurutnya, apabila tiba di rumah, abang pengadu cuba mendekati kereta lelaki terbabit, tetapi kenderaan itu dipandu laju dan hampir melanggarnya.
"Abang pengadu kemudian bertindak mengejar kereta itu hingga ke Lebuhraya Tol Gopeng sebelum berlaku kemalangan seperti yang tular di media sosial.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 23 saat di media sosial yang memaparkan kejadian kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, Kampar.
Media sebelum itu melaporkan Ketua Polis Daerah Kampar memaklumkan bahawa siasatan berkaitan kemalangan akan dijalankan pihaknya manakala kejadian jenayah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!