Isteri ketua kampung sebar gambar mesra suami dengan pempengaruh

LAMONGAN – Warganet gempar dengan foto didakwa bukti kecurangan seorang ketua kampung (Kades) yang pada mulanya tersebar di grup WhatsApp yang didedahkan isterinya sendiri.
Gambar mesra IF, 33, yang memimpin sebuah desa di Karanggeneng Lamongan di Jawa Timur, Indonesia dengan seorang wanita dipercayai di sebuah bilik hotel mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Kekasih gelap IF merupakan kakitangannya sendiri dikenali sebagai INH yang memegang jawatan Setiausaha Desa (Sekdes).
Warganet yang menjadi 'penyiasat tidak berbayar' turut membongkar maklumat tentang INH yang dikatakan seorang pempengaruh di YouTube dan sering berkongsi tentang tutorial hijab serta kandungan hiburan khas Lamongan.
Skandal itu turut mendapat perhatian pemimpin kerana didakwa mencemarkan nama baik institusi desa.
IF dikatakan berbohong kepada isterinya, NK kononnya ada urusan penting selama empat hari di Malang.
Rupa-rupanya 'hal' itu adalah untuk bertemu INH di sebuah hotel.
Ketika hubungan itu diketahui isterinya, IF dikatakan bertindak melakukan kekerasan ke atas NK di hadapan anak-anak mereka.
Menerusi laporan dibuat NK kepada Polres Lamongan, suaminya bertindak luar kawalan ketika dia cuba melindungi telefon bimbit anaknya yang menyimpan bukti kecurangan IF.
Susulan kes itu yang semakin panas, Bupati Lamongan, Yuhronur Efendi mengakui sudah melihat foto yang tersebar dan meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga beliau mengadakan pertemuan dengan tokoh masyarakat.
"Mereka pastinya akan dikenakan hukuman sewajarnya jika terbukti melakukan perbuatan tidak senonoh," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!