Gajah betina tolak lori cuba selamatkan anak undang sebak warganet

Tangkap layar video menunjukkan gajah betina tersebut cuba menolak lori berkenaan mengundang sebak pengguna media sosial.
Tangkap layar video menunjukkan gajah betina tersebut cuba menolak lori berkenaan mengundang sebak pengguna media sosial.
A
A
A

GERIK - Kejadian seekor gajah betina yang dirakam sedang cuba menolak sebuah lori selepas anaknya dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat itu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi mengundang sebak.

Video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial itu mengundang reaksi simpati dalam kalangan pengguna media sosial apabila melihat tindakan si ibu yang enggan berganjak dari lokasi kejadian untuk menyelamatkan anaknya.

Difahamkan kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff memaklumkan pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu sekitar jam 3.30 pagi.

Jabatan Perhilitan Perak membawa Ibu gajah ke kawasan lain bagi membolehkan bangkai anak gajah dikeluarkan dari lokasi kejadian. FOTO PERHILITAN PERAK
Jabatan Perhilitan Perak membawa Ibu gajah ke kawasan lain bagi membolehkan bangkai anak gajah dikeluarkan dari lokasi kejadian. FOTO PERHILITAN PERAK

“Hasil pemantauan mendapati seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dipercayai dilanggar lori ketika cuba melintas jalan.

“Kakitangan kami digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memantau dan menangkap ibu gajah tersebut untuk dialihkan ke kawasan lebih selamat,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, ibu gajah tersebut dianggarkan berusia 25 hingga 27 tahun dengan berat dianggarkan 2.2 tan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bangkai anak gajah itu telah dikeluarkan dari bawah lori dan akan dilupuskan mengikut prosedur dengan cara ditanam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan bagi kes kemalangan itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, rakaman video yang dimuat naik di laman Dunia Haiwan Malaysia turut menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang bersimpati dengan situasi yang menimpa haiwan liar itu.

Sebanyak 3,600 perkongsian dibuat dengan 9,800 tanda suka serta 2,000 komen berkaitan video berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!