Anak gajah mati keluar mengejut dari hutan - Polis

Laporan Sinar Harian berkaitan gajah betina tolak lori cuba selamatkan anak undang sebak warganet.
Laporan Sinar Harian berkaitan gajah betina tolak lori cuba selamatkan anak undang sebak warganet.
A
A
A

GERIK – Pemandu lori tidak sempat mengelak seekor anak gajah yang keluar dari hutan secara mengejut dan melintas jalan dalam kejadian menyayat hati di Kilometer 80, Lebuhraya Timur–Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat berhenti lalu melanggar anak gajah tersebut yang mati di tempat kejadian.

“Akibat pelanggaran itu, ibu gajah yang melihat kejadian bertindak menyerang lori dipercayai kerana marah dan cuba melindungi anaknya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, seekor gajah betina dewasa dipercayai ibu kepada anak gajah tersebut bertindak agresif dengan menghentam bahagian hadapan lori berkenaan sehingga rosak.

Pemandu lori berusia 28 tahun yang membawa muatan ayam dari Gerik ke Jeli bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zulkifli, pemandu terbabit pada mulanya melihat seekor gajah dewasa sedang makan rumput di bahu jalan sebelah kanan dan menyangka laluan itu selamat sebelum meneruskan perjalanan.

Katanya, pihak polis kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut, dan pasukan itu berjaya menenangkan gajah betina berkenaan dengan tembakan ubat pelali.

Tambah beliau, pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati semasa memandu di laluan JRTB, terutama pada waktu malam kerana kawasan itu sering menjadi laluan haiwan liar.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, video berdurasi seminit 11 saat yang memaparkan detik ibu gajah cuba menolak lori dalam usaha ‘menyelamatkan’ anaknya yang sudah tidak bernyawa tular di media sosial dan meraih ribuan reaksi simpati dalam kalangan warganet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!