Maaf sahaja tidak cukup, Jalur Gemilang perlu dihormati

HANYA tinggal satu hari sebelum seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-69.
Di sana sini, Jalur Gemilang mula menghiasi bangunan, premis perniagaan, kenderaan, kediaman dan pelbagai lokasi sebagai tanda semangat cintakan negara.
Ada yang berlumba-lumba memasang bendera, malah ada yang memilih untuk mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme.
Bagaimanapun, dalam keghairahan menyemarakkan sambutan kemerdekaan, timbul pula beberapa insiden yang sepatutnya menjadi peringatan kepada semua iaitu bendera dipasang terbalik dan terbaharu, kesilapan cetakan bintang tidak lengkap.
Lebih membimbangkan, beberapa insiden bukan sekadar ditegur atau dikesali, sebaliknya membawa kepada siasatan polis, penahanan individu, tindakan penutupan sementara premis dan peletakan jawatan.
Misalnya, kes pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah premis di Johor membawa kepada penahanan individu bagi membantu siasatan.
Di Kulai, sebuah premis turut diarahkan tutup sementara susulan pemasangan bendera secara terbalik, manakala kesalahan pemasangan bendera seterusnya dikesan pula ibu pejabat MCA di Perak.
Kemudian muncul pula isu pakaian bercetak Jalur Gemilang yang dipakai pada satu program di Kedah apabila bintang pada cetakan didapati tidak mempunyai 14 bucu seperti spesifikasi rasmi.
Sememangnya kita boleh menerima hakikat bahawa kesilapan boleh berlaku.
Tetapi apabila kesilapan itu melibatkan simbol negara, kita perlu bertanya adakah perkataan maaf sahaja sudah memadai?
Bukan kerana kita mahu menghukum sesiapa secara melulu, tetapi kerana Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang boleh dipasang, dicetak atau diubah mengikut kesesuaian dan kreativiti sendiri.
Ia membawa identiti sebuah negara.
Jikalau mahu memakai baju dengan warna asas bendera, iaitu merah, putih, biru dan kuning, silakan untuk menyemarakkan suasana Merdeka.
Bagaimanapun, jangan sesekali mengubah suai bendera Jalur Gemilang, mengubah bilangan bucu bintang ataupun menterbalikkan kedudukan bendera.
Jangan juga menganggap perkara itu remeh hanya kerana ia dilakukan atas alasan suka-suka atau mahu kelihatan patriotik.
Peringatan ini penting kerana insiden yang berlaku saban tahun menunjukkan masih ada sebahagian masyarakat yang kurang memahami bahawa simbol kebangsaan perlu dihormati.
Jangan sampai semangat mahu menunjukkan cinta kepada Malaysia bertukar menjadi kecuaian yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Jangan sampai maaf, saya tidak sengaja menjadi alasan yang sentiasa diulang setiap kali kesilapan sama berlaku.
Menjelang Hari Kebangsaan esok, biarlah seluruh Malaysia dihiasi Jalur Gemilang yang dikibarkan dengan penuh bangga, tetapi pada masa sama penuh tertib dan rasa hormat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

