Treler jatuh gaung: 'Terkejut tengok tangan terjuntai'

GUA MUSANG – Seorang kakitangan Telekom Malaysia (TM) berdepan detik mencemaskan apabila menemukan mayat seorang pemandu treler yang maut selepas kenderaan dipandunya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Lebuhraya Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Ladang Selasa pada Isnin.
Mohammad Luqman Faiz Mohd Zailani, 22, berkata, dia bersama dua rakan setugas tiba di lokasi sekitar jam 8 pagi bagi membaiki kabel telekomunikasi yang dilaporkan mengalami kerosakan sejak malam sebelumnya.
"Saya sampai menggigil dan tidak boleh bercakap kerana terkejut apabila nampak ada tangan yang terjuntai dari dalam treler itu.
"Kami menerima laporan kerosakan melalui sistem sekitar jam 8 malam Ahad dan datang ke lokasi berdasarkan kedudukan kilometer yang diberikan," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, setibanya di lokasi mereka tidak menyedari terdapat sebuah treler yang telah terbabas kerana kedudukan kenderaan itu jauh di bawah gaung yang dalam.
"Pada mulanya kami tidak nampak treler tersebut. Selepas membuat pemeriksaan di kawasan itu, kami terlihat kenderaan berkenaan dan menyangka tiada sesiapa di dalamnya.
"Namun apabila kami menghampiri dan memeriksa keadaan treler, kami terkejut apabila ternampak tangan terjuntai sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Luqman berkata, dia dan rakan-rakannya hanya mampu berdiam diri dalam keadaan terkejut selepas menyedari terdapat mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kami bertiga hanya mampu diam. Tangan pun menggeletar kerana tidak pernah berdepan situasi seperti ini sebelum ini," katanya.

Dia berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh di lokasi, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan berasal dari Kedah.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Nurhidir Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.11 pagi.
Menurut beliau, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah treler telah terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
"Pemeriksaan mendapati mangsa tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

