Banjir Nepal: Kementerian Luar dapatkan pengesahan laporan individu dikaitkan kumpulan terjejas

SHAH ALAM - Kementerian Luar sedang mendapatkan pengesahan daripada berkuasa di Nepal berhubung laporan tular mengenai seorang individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di negara itu.
Kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berusaha mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu.
"Kementerian tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenai laporan tersebut sementara proses pengesahan masih berjalan.
"Kementerian terus mengutamakan penyaluran maklumat yang telah disahkan mengenai kes individu secara langsung kepada waris," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan satu mayat dipercayai warga Nepal daripada rombongan yang turut disertai 23 rakyat Malaysia ditemukan di kawasan Trishuli pada Ahad.
Pada masa sama, pihak kementerian turut memohon kerjasama pihak media memberi ruang kepada proses pengesahan yang dilakukan dan menghormati privasi keluar yang terlibat.
"Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada umum akan disampaikan setelah maklumat berkenaan disahkan," menurut kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
