Nahas 11 kenderaan: 'Bila tengok gambar kemalangan, saya rasa itu kereta anak' - Bapa mangsa

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] “Bila tengok gambar kemalangan dalam media sosial saya rasa macam kereta anak saya sebab dia memang pakai (Proton) jenis S70, tapi dalam hati, saya kata bukan anak aku."
Demikian kata Mohd Kazwan Kassim, 59, bapa kepada pemilik Secangkir Cafe Nur Atiqah Sofiya, 32, sebelum mengetahui anak perempuannya maut dalam kemalangan tragis bersama suami dan anak mereka menerusi paparan berita di media sosial pada pagi Selasa.
Mohd Kazwan bagaimanapun mendapat maklumat mengenai kejadian selepas dimaklumkan rakan-rakan anaknya sebelum melihat sendiri berita kemalangan di media sosial.
“Saya pun tengok dalam Facebook ada kemalangan sekitar jam 7.50 pagi. Dapat tahu berita ini kawan-kawan anak beritahu dan ada yang hantar senarai nama mangsa.
"Bila tengok nama itu memang sahih nama anak saya," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini pada Selasa.

Nur Atiqah maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, selepas Proton S70 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) pada malam Isnin.
Seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, yang juga penumpang Honda CR-V, turut maut dalam nahas berkenaan.
Kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, dua Proton Saga, dua Perodua Myvi dan sebuah Perodua Aruz.
Bapa kepada empat anak itu mengakui tidak mengetahui pergerakan terperinci keluarga berkenaan sebelum kejadian kerana anak-anaknya jarang memaklumkan destinasi terlebih dahulu kepadanya.
“Saya pun tidak pasti bila mereka sekeluarga keluar ke Putrajaya, mungkin Jumaat atau Sabtu.
“Anak-anak ada pesan kalau hendak pergi mana-mana jangan beritahu awal-awal, sebagai seorang bapa bila tahu anak bawa kereta, saya runsing dan risau.
“Jadi hendak pergi mana-mana, pergilah, sudah sampai baru beritahu. Jaranglah beritahu sebab saya memang pesan begitu,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut, empat cedera dalam nahas libatkan 11 kenderaan di LPT1
Nahas 4 maut: Lori tangki hilang kawalan rempuh 10 kenderaan
Nahas 11 kenderaan: Polis sahkan empat maut termasuk suami, isteri dan anak lelaki 4 tahun
Mengulas mengenai anaknya, Mohd Kazwan berkata, Nur Atiqah merupakan anak kedua daripada empat beradik dan arwah tinggal berhampiran kediamannya di Bandar Damansara, Kuantan, bersama suami yang bekerja di sektor swasta di Gebeng.
“Rumah kami dekat sahaja, taman sebelah dekat Damansara, menantu saya orang Kuala Lumpur, jadi mereka selalu balik ke sana (Kuala Lumpur) sebulan sekali atau dua kali untuk balik ke rumah mentua.
“Kali terakhir saya jumpa arwah bersama suami dan anaknya pada Khamis lalu di rumah saya. Masa jumpa itu tidak ada apa-apa perubahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Kazwan berkata, antara kenangan terakhir yang sempat dikongsikan anaknya ialah gambar mereka sekeluarga ketika menyambut Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
“Arwah sempat kongsi gambar dalam kumpulan keluarga, gambar mereka sekeluarga sambut Merdeka di Putrajaya.
“Rasanya ini kali pertama mereka sambut Merdeka di Putrajaya, biasa sambut di Kuantan sahaja,” katanya.
Mohd Kazwan bagaimana reda dan menerima ujian berat yang menimpa keluarganya dalam sekelip mata.
“Saya sendiri memang tak sangka dan ini sudah memang ketentuan ALLAH belaka,” luahnya.
Ketiga- tiga jenazah akan dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Paya Luas, Temerloh.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Kuantan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

