Guru, anak enam tahun maut MPV jatuh gaung

ROMPIN - Guru wanita bersama anak lelaki maut manakala suami cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Kilometer 149.9 Jalan Kuantan-Seremban di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan jam 11.30 malam itu, mangsa, Kartinie Ngatenan, 46 beralamat dari Taman Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi,6 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suami mangsa yang juga pemandu, Mohd Azmi Mohajir, 47 cedera di kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika MPV jenis Toyota Estima dipandu juruteknik kilang bersama isteri dan anak dipercayai dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke arah Felda Keratong di sini.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai terlanggar kayu di atas jalan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.

"Akibat kejadian, dua mangsa mengalami cedera parah di kepada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sharif Shai berkata, pemandu MPV yang turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dihantar menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.

"Kes itu kini disiasat di mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

