Ubah perhimpunan besar kepada ribuan titik cahaya - Marhaini

KUALA LUMPUR - Selepas lebih sedekad, Malaysia #QuranHour yang kini memasuki tahun ke-12 penganjurannya memilih strategi baharu iaitu keluar daripada kebergantungan kepada satu pentas dan satu lokasi semata-mata.
Perubahan daripada satu perhimpunan besar kepada ribuan titik cahaya itu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti membaca al-Quran lebih merata dalam kalangan rakyat.
Bertepatan dengan itu, lokasi perdana di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118 yang berlangsung pada Ahad disertai kira-kira 500 peserta berbanding ribuan penyertaan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusof berkata, perubahan yang dilakukan itu selari dengan usaha untuk memperhebatkan lagi gerakan rakyat.
“Pada tahun ini, jumlah lokasi berdaftar Malaysia #QuranHour lebih kecil berbanding beberapa tahun sebelumnya. Kehadiran di lokasi perdana juga dihadkan oleh kapasiti masjid dengan sekitar 500 peserta berhimpun bersama.
“Namun, ukuran gerakan ini tidak seharusnya hanya tertumpu pada berapa ramai yang dapat memenuhi lokasi perdana. Perubahan yang ingin kita mulakan ialah membawa Malaysia #QuranHour keluar daripada kebergantungan kepada satu pentas dan satu lokasi.
“Malah, kita mahu peserta yang hadir juga lebih merasa dekat dan seterusnya boleh membawa perkara yang diangkat pada kempen itu sebagai amalan harian dalam organisasi atau kehidupan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118 di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenaan mencemar duli ke program tahunan anjuran WUIF yang memasuki edisi ke-12 tahun ini.
Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 11.55 pagi itu diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional (PNB), Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (IC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail dan Kuasa Usaha, Kedutaan Republik Iraq, Dr Hudayfa Zead Mahmoud Salih.
Lokasi perdana hanya sebagai pusat gema
Mengulas lanjut, Marhaini berkata, melalui strategik baharu kempen Malaysia# QuranHour itu, umat Islam boleh melaksanakannya di rumah bersama keluarga, di sekolah bersama guru dan murid, di pejabat bersama warga kerja, di masjid, hospital, pusat dialisis, universiti, komuniti atau mengikutinya melalui televisyen, Facebook dan platform dalam talian.
Ujarnya, dengan cara itu rakyat perlu lagi berasakan bahawa mereka hanya menjadi sebahagian daripada Malaysia #QuranHour apabila hadir secara fizikal di lokasi perdana.
Namun katanya, matlamat utama ialah mahukan setiap rumah, bilik darjah, pejabat dan ruang komuniti boleh menjadi lokasi aktiviti membaca al-Quran selama satu jam tersebut.
“Lokasi perdana hanyalah pusat gema tetapi gerakan sebenarnya berlaku apabila rakyat berhenti sejenak dan berinteraksi dengan al-Quran di mana-mana mereka berada.
“Kita sedang bergerak ke arah daripada satu himpuna besar jepada ribuan perhimpunan kecil, daripada kehadiran fizikal semata-mata kepada penyertaan merentas platform, daripada acara setahun sekali kepada cara hidup, daripada menunggu jemputan kepada mengambil inisiatif dan daripada program milik penganjur kepada gerakan milik rakyat,” katanya.
Wujudkan rasa ‘saya juga mahu bersama’
Marhani menambah, perubahan ke arah gerakan yang lebih kepada rakyat itu bertujuan untuk mewujudkan rasa agar rakyat ingin bersama-sama dengan program berkenaan.
Kita mahu lebih ramai rakyat melihat Malaysia #QuranHour dan merasakan bahawa di seluruh negara, orang sedang berhenti sejenak bersama al-Quran. Saya juga tidak mahu ketinggalan.
“Rasa tidak mahu ketinggalan itu bukan dibina melalui gimik atau angka yang dibesar-besarkan. Ia dibina melalui bukti bahawa gerakan ini benar-benar hidup di sekeliling mereka,”katanya.
Menurutnya, kempen yang dilaksanakan itu tidak perlu lagi dilihat jumlah peserta di setiap lokasi tetapi lebih penting ialah semakin banyak hati dan ruang kehidupan yang dihidupkan dengan al-Quran.
“Selama 12 tahun, Malaysia #QuranHour telah mengajak rakyat Malaysia di dalam dan luar negara berhenti sejenak selama satu jam untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui kerangka baca, faham dan amal.
“Hasratnya sejak awal bukan sekadar menghimpunkan manusia dalam sebuah acara. Hasratnya adalah untuk mengembalikan al-Quran ke tengah kehidupan dibaca di rumah, difahami di sekolah, dihayati dalam organisasi, diamalkan dalam komuniti dan dijadikan panduan membangunkan negeri serta negara,” katanya.
Malaysia #QuranHour edisi kali ini mengangkat tema Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera.
Program WUIF itu mengetengahkan tanda pagar #BuatKeranaAllah, #MindsetAlQuran, #BacaFahamAmal dan #OperatingSystemAlQuran.
Malaysia #QuranHour mengajak rakyat berhenti sejenak daripada kesibukan dan perbezaan, kemudian memulakan perubahan daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Kempen tahun ini berpandukan gandingan Surah al-Muzzammil, Surah al-Balad dan Surah Al-Baqarah selain mendapat kerjasama Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan, Kementerian Komunikasi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai penaja utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

