#Malaysia100: Anak muda mahu pulihkan Malaysia menjelang 2057

Muhammad Nasrul berkata, pembentukan hala tuju Malaysia tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau ahli politik, sebaliknya perlu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Muhammad Nasrul berkata, pembentukan hala tuju Malaysia tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau ahli politik, sebaliknya perlu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
A
A
A

SHAH ALAM - Generasi muda mahu memainkan peranan dalam memulihkan Malaysia dengan membina sebuah negara lebih adil, berintegriti, berilmu, bersatu dan mempunyai masa depan yang diyakini rakyat menjelang 100 tahun kemerdekaan pada 2057.

Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Nasrul Rahman Amran berkata, ia kerana anak muda hendak memastikan negara yang diwariskan kepada generasi akan datang bukan sekadar maju dari sudut ekonomi, tetapi turut kukuh dari segi nilai, demokrasi, pendidikan dan keadilan sosial.

Katanya, usaha itu perlu bermula sekarang kerana keadaan Malaysia pada 2057 bergantung kepada perkara yang dilakukan dan diperbaiki oleh generasi hari ini dalam tempoh tiga dekad akan datang.

“Bagi kami, 2057 bukan sekadar satu angka atau tarikh yang masih jauh. Ia adalah gambaran tentang Malaysia yang sedang kita bina hari ini.

“Kalau kita mahu melihat Malaysia yang lebih baik pada usia 100 tahun kemerdekaan, maka persoalannya ialah apa yang kita perlu lakukan sekarang, termasuk perkara yang perlu diperbaiki dalam tempoh 10, 20 dan 30 tahun akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengenang perjalanan negara sejak merdeka, bahkan menjadi titik mula kepada tempoh 31 tahun menuju Malaysia berusia 100 tahun.

Atas semangat itu, Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub melancarkan gerakan Legasi #Malaysia100 untuk mengajak generasi hari ini yang memegang 'baton' negara menyerahkan 'baton' itu dalam keadaan lebih baik kepada anak cucu kita pada 2057 nanti.

Untuk menyahut gagasan #Malaysia100 itu, Hussamuddin mengajak rakyat Malaysia sepanjang setahun sehingga 31 Ogos 2027 bersama-sama berdialog dan mengemukakan idea bagi membentuk Malaysia yang mahu diwariskan pada 2057.

Mengulas lanjut Muhammad Nasrul menegaskan, Gamis menyambut baik pelancaran gerakan itu yang dilihat memberi ruang kepada rakyat khususnya generasi muda untuk bersama-sama memikirkan masa depan negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembentukan hala tuju Malaysia tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau ahli politik, sebaliknya perlu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Mahasiswa, anak muda, masyarakat sivil, golongan profesional, pendidik dan rakyat biasa semuanya mempunyai pengalaman dan pandangan yang perlu didengar.

“Dalam bahasa mudah, Gamis melihat #Malaysia100 sebagai usaha membawa rakyat daripada sekadar mengeluh tentang Malaysia hari ini kepada bersama-sama membina Malaysia untuk generasi esok,” ujarnya.

Mengulas perkara yang perlu dipulihkan, Muhammad Nasrul berkata, keutamaan Gamis ialah mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi, antara sesama masyarakat serta keyakinan generasi muda terhadap masa depan negara.

Jelasnya, pembangunan fizikal dan kemajuan teknologi sahaja tidak mencukupi untuk menjadi legasi yang baik sekiranya asas penting dalam kehidupan bernegara semakin terhakis.

“Kita boleh membina bangunan, jalan raya dan teknologi yang hebat, tetapi kalau rakyat sendiri hilang kepercayaan terhadap institusi, kalau integriti boleh dikompromi dan kalau keadilan dirasakan tidak sama untuk semua, maka pembangunan itu belum cukup.

“Begitu juga kalau anak muda merasakan masa depan mereka tidak lagi berada di negara ini, pembangunan itu belum cukup untuk dikatakan sebagai sebuah legasi yang baik,” tambahnya.

Justeru, katanya, empat perkara juga perlu berjalan serentak dalam usaha memulihkan negara iaitu institusi dan integriti, pendidikan yang membina manusia, peluang ekonomi lebih adil untuk generasi muda serta perpaduan masyarakat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Article Details