Nepal percepat pembinaan jambatan, 3,696 mangsa dibantu

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah
A
A
A

KATHMANDU - Seramai 3,696 mangsa bencana banjir Sungai Bhote Koshi telah dibantu anggota keselamatan di empat pusat pengumpulan di kawasan terjejas termasuk Rasuwa, Nuwakot dan Dhading, lapor The Rising Nepal.

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah berkata, bantuan itu disalurkan menerusi 27 pusat pengagihan di daerah Rasuwa dan Nuwakot, dengan kerajaan negeri serta tempatan turut terbabit dalam pengurusan tempat perlindungan.

Menurut Balendra, pihaknya turut menerima bantuan antarabangsa daripada negara sahabat termasuk India, China, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Jepun, Switzerland dan Australia.

"Dalam usaha memulihkan akses pengangkutan yang terjejas, kerajaan Nepal memberi keutamaan kepada pembinaan jambatan sementara termasuk jambatan Bailey.

"Kajian sedang dijalankan bagi memasang jambatan Bailey di tiga lokasi iaitu Sungai Tadi di Devighat, Trishuli Bazaar dan Betravati Bazaar.

"Selain itu, India telah menghantar sebuah jambatan keluli modular satu lorong sepanjang 230 kaki, selain memberi komitmen untuk menghantar tujuh lagi jambatan Bailey.

“Dalam masa terdekat, kita juga akan menerima 30 jambatan Bailey daripada kerajaan China,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.

Balendra berkata, kerajaan turut mula merangka usaha pemulihan mangsa dengan mengumpulkan data mengenai jumlah mangsa serta tahap kerosakan fizikal.

“Ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal, keluarga, insan tersayang dan harta benda. Kerajaan memahami penderitaan yang mereka lalui.

Artikel Berkaitan:

“Langkah seterusnya adalah mengurangkan penderitaan mereka dan membantu mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa melalui proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menjadi amaran jelas bahawa risiko bencana di rantau Himalaya semakin meningkat akibat perubahan iklim.

“Insiden ini menunjukkan risiko yang kita hadapi di rantau Himalaya semakin meningkat dengan perubahan iklim.

“Rantau ini perlu berwaspada dan sudah tiba masanya untuk kita membawa isu bencana akibat perubahan iklim yang dihadapi ini dengan lebih tegas kepada masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Article Details