Dua maut, seorang parah kemalangan dalam perjalanan ke sekolah

Nahas di Taman Perpaduan Ria, Tambun pada Jumaat mengorbankan dua pelajar perempuan, manakala seorang lagi pelajar cedera parah. Foto JBPM Perak
Nahas di Taman Perpaduan Ria, Tambun pada Jumaat mengorbankan dua pelajar perempuan, manakala seorang lagi pelajar cedera parah. Foto JBPM Perak
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Perjalanan tiga beradik ke sekolah berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Perpaduan berhampiran Taman Perpaduan Ria, Tambun di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, penunggang motosikal, Elyana Nasuha Ibrahim, 19, bersama adik perempuannya, Suhaila, 10, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi adik perempuan mangsa, Norhayati Qaliesha, 12, yang turut membonceng motosikal sama mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, Elyana Nasuha yang merupakan pekerja swasta dalam perjalanan menghantar dua adiknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan.

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan memasang cervical collar sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Foto JBPM Perak
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan memasang cervical collar sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Foto JBPM Perak

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha EZ115 itu datang dari arah Jalan Perpaduan menuju ke Bercham.

"Pada masa sama, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun keluar dari simpang untuk memasuki jalan utama sebelum berlaku pertembungan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang pembonceng maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi pembonceng yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!