‘Terima kasih nenek, usap saya dalam perut’ ucap seorang anak kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah

Fairuz ketika bertemu dengan Allahyarham Tun Dr Hasmah di Putrajaya dan Abdullah (kanan) ketika menziarahi Pusara Negara.
Fairuz ketika bertemu dengan Allahyarham Tun Dr Hasmah di Putrajaya dan Abdullah (kanan) ketika menziarahi Pusara Negara.
A
A
A

SHAH ALAM – “Terima kasih nenek, usap saya dalam perut.”

Demikian ungkapan Abdullah Izzuddin Mohd Nazmi, 10, anak kepada penyunting kandungan, Fairuz Mohd Shahar, 40, ketika menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Lebih menyentuh perasaan, Abdullah meluahkan penghargaan itu kepada insan yang pernah mengusap perut ibunya ketika dia masih dalam kandungan, meskipun tidak berpeluang mengenali Allahyarham secara bersemuka.

Fairuz yang juga ibu kepada empat anak berkata, hasrat anak sulungnya untuk menziarahi pusara Dr Hasmah tercetus selepas dia berkongsi kisah pertemuan mereka pada 2015 kepada anak - anaknya.

Katanya, anak sulung dari empat beradik itu mula menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Allahyarham selepas melihat gambar dan video pertemuan tersebut yang ditunjukkan kepadanya.

“Selepas saya bercerita, dia mencari sendiri maklumat mengenai Dr Hasmah menerusi media sosial.

“Tidak lama kemudian, dia bertanya, ‘Ibu, kubur nenek ini dekat mana? Jauh tak? Rasa macam nak pergi. Saya terkejut kerana memang merancang untuk menziarahi pusara beliau, tetapi tidak menyangka hasrat itu datang daripada anak sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Fairuz berkata, dia kemudian membawa Abdullah menziarahi pusara Allahyarham dan terharu apabila melihat anaknya membaca surah Yasin sehingga selesai serta mendoakan Dr Hasmah.

Mengimbau kembali detik pertemuan itu, Fairuz berkata, ketika itu dia bertugas sebagai wartawan dan menerima tugasan membuat liputan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu, dia sedang hamil tiga bulan dan Dr Hasmah menghadiri mesyuarat berkaitan kesihatan wanita serta program imunisasi kanak-kanak.

Menurut Fairuz, selepas mesyuarat selesai, dia bersama rakan media menunggu untuk menemu bual Dr Hasmah sebelum rakan-rakannya meminta untuk memberitahu tentang kehamilannya.

“Rakan-rakan wartawan mengusik dan meminta saya tampil ke hadapan untuk bertemu Tun Hasmah.

“Beliau kemudian menarik saya ke hadapan dan berbual secara santai sebelum berpesan supaya menjaga kandungan dengan baik serta membawa anak mendapatkan vaksin selepas dilahirkan,” katanya.

Lebih bermakna, Dr Hasmah turut mengusap perut Fairuz selepas mengetahui bahawa kehamilan itu bukan pengalaman pertamanya.

Fairuz berkata, dia hanya memberitahu bahawa anak dalam kandungan itu merupakan anak sulungnya, namun bukan kehamilan pertama kerana pernah mengalami keguguran sebelum itu.

“Walaupun saya tidak menceritakan pengalaman tersebut secara terperinci, Dr Hasmah seolah-olah memahami keadaan saya sebelum mengusap perut dan berpesan supaya menjaga bayi dengan baik,” ujarnya.

Kata Fairuz, dia berkongsi semula kenangan itu dengan anak-anak selepas pemergian Dr Hasmah kerana mahu mereka mengenali insan yang pernah memberikan perhatian kepada mereka ketika masih dalam kandungan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Article Details