Dua kemenangan awal cukup buat ragbi intai emas

Nik Safuan Ismade Nik Man
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan perlu meraih sekurang-kurangnya dua kemenangan awal bagi membuka laluan ke pentas final di Sukan SEA Thailand 2025.

Ketua jurulatih kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man mengakui misi itu bukan mudah kerana mereka bakal berdepan tiga perlawanan dalam sehari dengan tahap kecergasan pemain menjadi faktor penentu.

“Kalau ikut sasaran utama, kita memang nak layak ke final. Itu juga adalah sasaran yang realistik untuk pasukan kali ini,” katanya pada majlis pengumuman senarai pemain Bunga Raya.

Nik Safuan menekankan bahawa hari pertama amat penting kerana Malaysia akan berdepan pasukan kuat seperti Singapura, Filipina dan Thailand, justeru kemenangan dua perlawanan awal menjadi kunci.

Selain itu, jadual perlawanan memberi kelebihan kepada Thailand kerana mereka akan menentang Malaysia selepas skuad negara beraksi dua perlawanan genting sebelum itu, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pemain.

Menurut Nik Safuan, Singapura perlu diberi perhatian serius kerana mereka sudah menyiapkan skuad hampir dua tahun, manakala Filipina pula menurunkan pemain warisan dari New Zealand, namun beliau menegaskan Malaysia tidak gentar.

“Thailand tetap menjadi pilihan utama, tapi kita tak boleh abaikan Singapura kerana persiapan mereka lebih lama, manakala Filipina akan bawa masuk 11 pemain dari New Zealand. Apa pun, kita akan cuba beri yang terbaik,” katanya.

Hari kedua menyaksikan Malaysia menentang Laos dengan sasaran jaringan besar untuk menentukan kedudukan kumpulan sebelum aksi final merebut pingat emas dan perlawanan gangsa berlangsung pada 14 Disember. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN