Duit jual sate tak mampu biaya rawatan anak derita SLE

JURIDAH Mohd. Zainal Shah hanya mampu berkerusi roda kerana anggota badan semakin lemah akibat penyakit SLE dan mengalami penyakit buah pinggang di Taman Peramu Jaya di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Setiap kali melihat asap sate, pasangan suami isteri dari Taman Peramu Jaya di sini sayu kerana hasil jualan makanan itu bukan sahaja untuk menampung sewa rumah dan bekalan dapur, malah kini menjadi benteng terakhir untuk menyelamatkan nyawa anak pe­rempuan yang sedang bertarung penyakit kritikal.

Juridah Mohd. Zainal Shah, remaja 16 tahun yang sepatutnya ke sekolah seperti rakan lain seusianya, kini terlantar akibat penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) tahap lima yang sudah pun menyerang organ buah pinggangnya.

Ibunya, Siti Khodhijah Mohammad berkata, kehidupan keluarganya berubah sekelip mata sejak penyakit anaknya dikesan pada November tahun lalu di Hospital Pekan, sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dekat sini.

“Kulitnya mudah melecur, muka, kaki dan tangannya ke­rap bengkak hingga badan jadi terlalu lesu. Dia terpaksa berada di wad HTAA dalam tempoh yang lama. Melihat dia menanggung sakit setiap hari, hancur luluh hati saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Peramu Jaya di sini.

Penyakit yang meragut alam remajanya itu bukan sahaja memaksa Juridah berhenti sekolah, malah mengheret keluarga tersebut ke kancah kesempitan kewangan yang meruncing.

Mana tidaknya, dengan pendapatan berniaga sate yang tidak menentu, mereka perlu menanggung kos sara hidup sekitar RM2,500 sebulan. Keadaan semakin terdesak apabila kos rawatan dan ulang-alik ke hospital memerlukan perbelanjaan tambahan RM1,000 setiap bulan.

“Suami cuma berniaga sate. Kami perlu berulang-alik ke HTAA Kuantan dan Hospital Pekan dua hingga tiga kali seminggu mengikut arahan doktor.

“Selain tambang dan minyak, kami perlu menyediakan krim pelindung matahari khas (SPF50) bagi mengurangkan kesakitan kulitnya sewaktu di rumah. Kami benar-benar tidak mampu lagi,” katanya sebak.

Keluarga tersebut kini me­rayu ihsan pihak berwajib dan masyarakat prihatin agar Juridah dapat meneruskan rawatan berterusan sebelum keadaannya menjadi lebih kritikal.

Orang ramai yang berhasrat meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Siti Khodhijah di talian 01110802347 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank Bank Islam 06073025358535 (Siti Khodhijah Mohammad). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN