Bekas Presiden Armenia, anak ditahan kerana rasuah

ROBERT KOCHARYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YEREVAN: Bekas Presiden Arme­nia, Robert Kocharyan dan anak sulungnya, Sedrak, ditahan kelmarin selepas pihak berkuasa menggeledah puluhan lokasi yang dikaitkan dengan keluarga berkenaan, menurut Jawatankuasa Antirasuah negara itu.

Pejabat Pendakwa Raya Armenia berkata, pendakwaan jenayah terhadap Kocharyan, 71, dibuka atas tuduhan penyalahgunaan kuasa, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berskala besar.

Empat lagi individu turut ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.

Jawatankuasa Antirasuah ber­kata, pihaknya menyiasat dakwaan aset kerajaan dijual secara haram kepada syarikat swasta di bawah nilai pasaran ketika Kocharyan memegang jawatan dari tahun 1998 hingga 2008.

Ketua pejabatnya, Bagrat Mikoyan menyifatkan penahanan itu sebagai ‘satu lagi serangan terhadap Kocharyan dan keluarga’ oleh pihak berkuasa.

Kes itu turut melibatkan sembilan individu selain Kocharyan, menurut jawatankuasa berkena­an.

Bekas Presiden, Serzh Sarg­syan, yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri di bawah Kocharyan dari 2007 hingga 2008 sebelum menjadi presiden dari 2008 hingga 2018, turut berdepan tuduhan penyalahgunaan kuasa dalam kes tersebut.

Sargsyan dipanggil ke ibu pe­jabat Jawatankuasa Antirasuah di Yerevan pada Selasa. Korcharyan kini mengetuai Perikatan Armenia yang mesra Russia, blok pembangkang kedua terbesar di Parlimen.

Ketika memegang jawatan sebagai presiden, Kocharyan memperkukuh hubungan Yerevan dengan Moscow melalui pemeteraian deklarasi perkongsian bersekutu dan menyaksikan pe­ningkatan ketara pelaburan Russia dalam ekonomi Armenia.

Beliau juga mengekalkan hubungan peribadi rapat dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Pada 2021, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata bahawa kedua-duanya mempunyai hubungan baik untuk tempoh yang sangat lama dan sering berhubung. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN