Bekas Presiden Ecuador dijel lima tahun kerana rasuah

LENIN Moreno duduk di atas kerusi roda. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Bekas presiden Ecuador, Lenin Moreno dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah menerima rasuah.

Bagaimanapun, Moreno menegaskan beliau tidak menerima wang daripada sebuah syarikat China yang memperoleh kontrak untuk membina sebuah loji hidroelektrik di negara Amerika Latin itu.

Moreno, 73, akan menjalani hukuman tersebut di bawah tahanan rumah kerana faktor usia dan kecacatannya. 

Beliau juga telah menyatakan hasrat untuk merayu keputusan itu selepas sebuah mahkamah di ibu negara, Quito, mendapati beliau dan 19 individu lain bersalah atas kesalahan rasuah.

Moreno, yang menjadi presiden dari 2017 hingga 2021, merupakan pemimpin Ecuador ketiga yang pernah memegang jawatan presiden dan dijatuhi hukuman atas kesalahan rasuah.

Pendakwa raya mendakwa Sinohydro, yang dimiliki kerajaan China, membayar sejumlah AS$76.1 juta (RM307 juta) melalui syarikat-syarikat palsu kepada individu yang terlibat dalam urus niaga tersebut bagi mendapatkan kontrak pembinaan empangan hidroelektrik Coca Codo Sinclair.

Antara yang dijatuhi hukuman penjara ialah isteri, anak perempuan dan saudara lelaki Moreno, selain bekas pengurus loji, wakil Sinohydro serta seorang duta China ke Ecuador.

Walaupun Moreno sendiri didakwa menerima jumlah yang sangat kecil daripada skim tersebut, pendakwa raya berkata, ahli keluarganya menerima puluhan ribu dolar.

Mereka yang disabitkan kesalahan menerima rasuah diwajibkan membayar balik tiga kali ganda jumlah yang diterima, manakala Moreno dilarang memegang sebarang jawatan awam.

Beliau menggantikan Rafael Correa dan mendapat sokongan bekas presiden itu. Namun, beliau kemudian berselisih dengan mentornya selepas beralih ke arah kanan dalam politik dan menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Amerika Syarikat (AS).

Moreno telah mengumumkan rancangan untuk merayu keputusan mahkamah itu.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara selama enam tahun setengah terhadap Moreno.

Bekas presiden yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan pernah berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi isu ketidakupayaan, menegaskan pada Jumaat selepas keputusan itu bahawa beliau tidak pernah menerima satu sen pun daripada Sinohydro. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN