SEREMBAN: Negeri Sembilan kini menuju ke arah pembangunan lebih menyeluruh dan seimbang dengan memastikan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar berjalan seiring.
Sehubungan itu, hala tuju pembangunan negeri sedang dirangka menerusi Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (RSNNS 2040) iaitu dokumen dasar penting yang menjadi panduan dalam menentukan corak dan arah pembangunan fizikal Negeri Sembilan untuk tempoh sehingga 2040.
Rancangan itu malah mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan menerusi penglibatan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan termasuk penyaluran peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memperkukuh perancangan pembangunan terutama memastikan dasar dan strategi dilaksanakan lebih tersusun, bersepadu selain mengambil keperluan semasa dan masa depan.
“Dokumen ini merupakan panduan strategik merangkumi dasar menyentuh aspek ekonomi, sosial, alam sekitar, infrastruktur, pengangkutan, perumahan dan kesejahteraan rakyat yang disusuli Tindakan perlu dilaksanakan.
“Kajian semula yang dilaksanakan ini mengambil kira perubahan semasa di peringkat global dan nasional termasuk perubahan iklim, perkembangan teknologi, transformasi ekonomi, mobiliti penduduk, keterjaminan makanan, pembangunan rendah karbon serta cabaran urbanisasi yang semakin kompleks,” katanya.
Hala tuju pembangunan Negeri Sembilan
Tambah beliau, pembangunan secara konvensional juga perlu beralih kepada perancangan lebih pintar, berdaya tahan, inklusif dan mampan bagi memastikan Negeri Sembilan kekal kompetitif serta bersedia menghadapi keperluan generasi akan datang.
Katanya, untuk tujuan itu, Negeri Sembilan perlu mengambil manfaat kedudukan strategiknya di dalam Wilayah Tengah yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai negeri tumpuan pelaburan, perindustrian, pendidikan, pelancongan serta pembangunan komuniti yang berkualiti.
Pembangunan itu khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi (ZPE) Seremban dan Port Dickson dalam zon Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 yang menjadi pemangkin utama pembangunan industri, pelaburan dan guna tanah negeri.
“Peningkatan daya saing ekonomi ini juga menyasarkan perkembangan daripada segi jumlah bilangan projek pelaburan di Negeri Sembilan dari 295 projek pelaburan (berjumlah RM19.1 billion) pada tahun 2025 kepada 2,405 projek menjelang tahun 2040.
“Sasaran ini diperkukuh melalui cadangan 14 kawasan tumpuan sektor pelaburan melibatkan sembilan petak pembangunan di dalam kawasan MVV dan lima lagi di luar kawasan MVV,” katanya
Menurut Menteri Besar, Negeri Sembilan mempunyai keluasan kawasan yang signifikan dan berpotensi tinggi untuk diterokai serta dibangunkan secara strategik memandangkan tahap tepu bina semasa hanya sekitar 12.55 peratus.
“Keadaan ini mencerminkan kapasiti pembangunan negeri yang masih luas dan berdaya saing untuk menampung pertumbuhan ekonomi, peluasan aktiviti perindustrian, pembangunan bandar baharu serta kemasukan pelaburan domestik dan asing pada masa hadapan.
“Selain pembangunan industri berteknologi tinggi dalam zon MVV 2.0, perancangan pembangunan Negeri Sembilan turut mengambil kira pembangunan Zon Promosi Pertanian antara daerah Tampin, Jempol, Rembau dan Kuala Pilah yang akan memainkan peranan sebagai pusat katalis aktiviti pertanian selain sektor pelancongan biodiversiti dan ekopelancongan akan diberikan penekanan di Jelebu,” katanya.
Sasaran untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri kepada RM109.12 bilion menjelang 2040 juga disokong oleh kadar pertumbuhan penduduk yang pesat iaitu dengan unjuran 1.6 juta penduduk menjelang tahun yang sama.
“Secara tidak langsung, ini akan menyediakan jumlah populasi dan guna tenaga yang kukuh untuk menyokong perancangan pembangunan yang telah dirangka.
Oleh itu, saya mahu setiap strategi dan cadangan pembangunan yang dirangka melalui Rancangan Struktur Negeri ini benar benar bersifat realistik dengan memanfaatkan segala potensi yang ada di negeri ini seterusnya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” tambah Ismail lagi.

Pembangunan mampan dan teknologi
Sementara itu, dalam setiap pembangunan ia tidak boleh hanya diukur berdasarkan nilai pelaburan atau pertumbuhan ekonomi tetapi juga kesannya terhadap kehidupan rakyat.
“Aspek pemeliharaan alam sekitar, pengurusan risiko bencana, perlindungan kawasan sensitif alam sekitar serta adaptasi perubahan iklim perlu diberikan perhatian serius demi menjamin kelestarian negeri untuk jangka panjang.
“Selain itu, saya juga mahu pendekatan pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) diterapkan dalam pengurusan pembangunan dan sistem penyampaian kerajaan.
“Hal ini penting supaya proses membuat keputusan menjadi lebih cekap, tepat dan responsif terhadap keperluan rakyat selain peka dan berada di landasan yang tepat terhadap sasaran ‘neutral-carbon’ negeri dan negara,” kata Menteri Besar.
Kata beliau, apa yang paling penting adalah pembangunan yang dirancang mestilah mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Ini melalui penyediaan peluang pekerjaan, perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang baik, sistem pengangkutan yang efisien serta persekitaran yang selamat dan kondusif serta mampu mendepani cabaran geopolitik global dan berdaya tahan,” tambahnya.
Stabil, Maju, Makmur
Pembangunan Negeri Sembilan selepas ini turut akan dipandu dengan tunjang utama pentadbiran iaitu Stabil, Maju dan Makmur yang juga menjadi tema manifesto ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu.
Ismail berkata, di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri baharu yang dipimpin beliau, aspek kestabilan, kemajuan dan kemakmuran akan menjadi paksi dalam memberikan khidmat kepada rakyat.
“Kita mahu membina sebuah negeri yang stabil dari segi institusi, pentadbiran dan politik, bukan sekadar bermaksud sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti sokongan dalam Dewan Undangan Negeri.
“Perkara yang lebih penting adalah kestabilan institusi Raja Berperlembagaan dan institusi adat yang menjadi payung negeri, kestabilan pentadbiran yang profesional serta kestabilan dasar yang memberi keyakinan kepada rakyat, pelabur dan dunia perniagaan,” katanya.
Tambah Menteri Besar lagi, negeri yang maju bukan sahaja diukur melalui angka pertumbuhan tetapi melalui keupayaan mencipta peluang, menarik pelaburan berkualiti, menyediakan pekerjaan bernilai tinggi dan melahirkan modal insan yang berdaya saing selain memastikan pembangunan tidak tertumpu di satu kawasan sahaja sebaliknya memberi manfaat kepada seluruh negeri.
“Kemakmuran tidak hanya tertumpu kepada segelintir pihak sahaja tetapi hasil pembangunan yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian mereka.
“Kemakmuran dapat diterjemah dan memberi makna apabila peluang ekonomi yang semakin luas, masa berurusan dengan kerajaan menjadi lebih efisien serta keyakinan rakyat terhadap masa depan negeri ini,” katanya.-UTUSAN.










