JOHOR BAHRU: Pas Johor berharap kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dimulakan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan diteruskan pada PRN Melaka.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu penting bagi memastikan kerajaan yang mentadbir kelak adalah yang terbaik untuk masyarakat berbilang kaum di negeri dan negara.
Katanya, kerjasama sedemikian juga perlu diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang agar kerajaan baharu dapat dibentuk di peringkat Persekutuan.
“Harapan kita adalah agar kerjasama antara PN dan BN dapat terus dikekalkan menjelang PRN Melaka tidak lama lagi.
“Kerjasama khususnya antara parti-parti politik Melayu dan Islam adalah penting agar pemerintahan dapat dikembalikan kepada masyarakat majoriti, seperti di Negeri Sembilan.
“Harapannya adalah agar kerajaan yang terbentuk menerusi kerjasama ini dapat mentadbir dengan adil dan berintegriti, sekali gus melaksanakan prinsip amar makruf nahi mungkar, sifar rasuah dan sifar salah guna kuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Tambah Mahfodz, Pas Johor bersedia menggerakkan jentera bagi membantu kempen PN dan BN pada PRN Melaka akan datang.
“Pas Johor akan menghantar seramai mungkin jentera yang diperlukan bagi membantu kempen di PRN Melaka. Kebiasaannya setiap negeri akan diamanahkan untuk membantu satu DUN yang ditandingi calon Pas,” katanya.
Semalam, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan PRN Melaka bakal dilangsungkan dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari sekarang dan berharap tempoh berbaki sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan jentera Pas dan PN berada dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya. – UTUSAN










