Kalau Pas tidak kompeten, bagaimana boleh beri 32-0?

WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MANIFESTO adalah janji parti politik kepada rakyat yang ditabur semasa musim pilihan raya sebagai alat untuk berkempen dan menarik sokongan pengundi. Pas Terengganu tidak ketinggalan menawarkannya sehingga menawan Terengganu pada Pilihan Raya 2018 sebelum mempertahan kemenangan dua penggal berturut-turut.

Namun, selepas kira-kira lapan tahun mentadbir, sejauh mana Pas Terengganu menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifestonya itu. Malah dalam tempoh berkenaan, pembangkang Terengganu mendakwa kerajaan Pas hanya memanfaat dan meneruskan pembangunan dilakukan UMNO/Barisan Nasional (BN) sewaktu mentadbir negeri tersebut.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH mendapatkan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, DATUK WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri untuk menjawab persoalan-persoalan itu.

Utusan: Sejauh mana Pas sudah menunaikan manifesto pilihan ra­yanya dalam tempoh dua penggal menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu?
WAN SUKAIRI: Banyak manifesto yang sudah kita laksanakan, ada yang masih berjalan dan memberi manfaat hingga hari ini walaupun kita berdepan tekanan kewangan. Sebagai contoh, ma­nifesto wad kelas tiga percuma, manifesto ini sangat membantu rakyat yang benar-benar miskin. Kedua, pengecualian cukai pintu rumah kediaman berjalan hingga hari ini selepas kita kecualikan bermula 2019. Untuk yang terbaharu, pinjaman tanpa riba untuk pembelian motosikal bagi tujuan kerjaya untuk belia yang layak.

Dalam manifesto 2018, Pas Terengganu menawarkan untuk menambah sekolah menengah agama di setiap Parlimen selaras dengan perjuangannya memartabatkan Islam. Namun selepas hampir lapan tahun mentadbir, hanya satu yang dibina?
Manifesto itu terus berjalan, tiada tempoh tamat, kita sudah usahakan banyak pembukaan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), usaha ini akan terus bergerak walaupun dikekang kewangan.

Pembangkang mendakwa Ke­rajaan Pas Terengganu hanya memanfaat dan meneruskan pembangunan dilakukan UMNO/Barisan Nasional (BN) sewaktu mentadbir Terengganu.
Itu dakwaan mereka, rakyat melihat sebaliknya dan rak­yat mempersembah penilaian me­reka dalam pilihan raya negeri (PRN) lepas. Kalau kita tidak meneruskan pembangunan itu, ba­nyak yang terbengkalai, menjadi gajah putih sedangkan berbilion wang rakyat sudah diguna. Kita juga menyambung menyiapkan projek tinggalan mereka yang tidak siap, itu tanggungjawab kita agar wang yang sudah dikeluarkan berbaloi dan memberi manfaat semula kepada rakyat.
Sebenarnya banyak juga projek yang kita bangunkan seperti projek perumahan untuk rakyat, pembaikan muara untuk kebaikan nelayan dan pembinaan Jambatan Baharu Marang, itu antaranya.

Apa hasil dua penggal Pas ­di Terengganu?
Alhamdulillah, banyak hasil yang diterima rakyat, umpama­nya dalam manifesto sendiri, untuk rekod sejak 2018-2024 hingga berjaya memberikan 40,977 lot tanah kepada rakyat, selain mengembalikan semula tanah rakyat yang dirampas kerajaan terdahulu lebih 7,000 lot. Kita juga berjaya menaikkan KDNK, memulihkan projek terbengkalai dan tidak siap.  Pasca 2019 kerajaan telah men­struktur semula anak sya­rikat kerajaan negeri (GLC). GLC yang dulunya mempu­nyai hutang, saman dan sentiasa rugi berpuluh juta kita sudah mengeluarkan pendapatan ter­tinggi dan untung yang banyak. Sebagai contoh EPIC Berhad pada 2017 dituntut bayar ganti rugi oleh Mahkamah Persekutuan, zaman kini menjana untung. Begitu juga GLC lain.

Benarkah dakwaan Kerajaan Pas Terengganu lebih mengutamakan lantikan politik yang tidak jelas tugas mereka dan tidak kompeten untuk bekerja bagi pihak kerajaan negeri.
Saya bagi sedikit fakta, pada 2012 terdapat 20,000 penjawat awam termasuk lantikan politik makala pada akhir 2017 terdapat hampir 13,000 penjawat awam. Pada 2024 kita ada 14,000 penjawat awam. 2018-2024 kita laksanakan manifesto pembukaan SRIDI dan SMIDI, sudah tentu ada kakitangan baharu yang digaji, adakah guru-guru atau staf SRIDI dan SMIDI di bawah JPINT ini mereka nak kata lantikan politik? Satu lagi kalau tidak kompeten, bagaimana rakyat boleh beri 32-0? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN