Enam dekad iringi kemajuan Malaysia

MENARA Merdeka Maybank berdiri megah sebagai mercu tanda kemajuan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Jalur Gemilang pertama kali dikibarkan, Malaysia tidak pernah berhenti bergerak ke hadapan dengan perubahan ekonomi yang membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk bekerja, berniaga dan meningkatkan kehidupan.

Pembangunan negara selepas merdeka turut mengubah cara rakyat menjalani kehidupan, mengurus kewangan dan merancang masa depan seiring perubahan ekonomi serta kemajuan teknologi.

Seiring perubahan itu, keperluan masyarakat turut bertambah apabila akses kepada perkhidmatan kewangan, modal perniagaan, pengetahuan mengurus wang dan teknologi semakin diperlukan dalam urusan harian.

Maybank melalui perjalanan 60 tahun bersama Malaysia, bergerak seiring perubahan keperluan rakyat, perniagaan dan komuniti dari satu fasa pembangunan negara ke fasa seterusnya.

Dari pusat bandar hingga ke pelusuk desa, usaha membawa perkhidmatan kewangan lebih dekat kepada masyarakat membantu mengurangkan batasan jarak yang suatu ketika dahulu mempengaruhi akses kepada kemudahan perbankan.

Akses yang lebih luas membolehkan rakyat menyimpan, membuat transaksi dan mendapatkan pembiayaan melalui sistem kewangan formal, selain membuka lebih banyak ruang untuk mereka memanfaatkan peluang ekonomi.

Setiap keputusan berkaitan kewangan bagaimanapun perlu dibuat dengan pengetahuan yang mencukupi serta mengikut keadaan dan kemampuan masing-masing.

Literasi kewangan penting dalam membantu rakyat mengurus simpanan, hutang, pelaburan dan perancangan kewangan supaya kemudahan yang tersedia dapat digunakan dengan lebih baik.

Sokongan kepada komuniti pula membuka peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan keupayaan serta memperbaiki kedudukan ekonomi masing-masing.

Dalam dunia perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi antara penggerak utama ekonomi melalui peluang pekerjaan, pendapatan masyarakat dan rantaian bekalan yang melibatkan pelbagai sektor.

Akses kepada pembiayaan, kemudahan perdagangan, sistem pembayaran dan teknologi membolehkan PKS meningkatkan kapasiti, menambah produktiviti serta menyesuaikan operasi dengan perubahan pasaran.

Perkembangan teknologi kemudian membawa urusan perbankan ke fasa baharu apabila banyak perkhidmatan yang dahulunya bergantung kepada lokasi fizikal kini boleh dilakukan melalui saluran digital.

Perbankan digital bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan rakyat dan perniagaan mendapatkan perkhidmatan kewangan tanpa terlalu bergantung kepada jarak dan lokasi.

Pada masa sama, penggunaan teknologi perlu mengambil kira keperluan manusia supaya kemajuan digital benar-benar memudahkan kehidupan dan membantu perniagaan menjalankan urusan dengan lebih cekap.

Usaha memperkasa masyarakat turut merangkumi persediaan menghadapi masa depan yang lebih lestari dengan generasi seterusnya memerlukan kemahiran, pengetahuan dan peluang untuk menghadapi perubahan ekonomi serta teknologi.

Menara Merdeka Maybank hari ini melengkapkan perjalanan sebuah jenama Malaysia yang telah melalui enam dekad pembangunan negara dan kini mempunyai kedudukan di peringkat antarabangsa.

Kedudukannya dalam landskap ibu negara mencerminkan kemajuan Malaysia yang semakin dikenali di peringkat dunia seiring kemampuan institusi tempatan berkembang serta menyesuaikan peranan mengikut perubahan ekonomi dan teknologi.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, peranan institusi perbankan dalam pembangunan negara jauh lebih luas daripada menyediakan kemudahan simpanan dan pinjaman kepada masyarakat.

Katanya, institusi perbankan menghubungkan simpanan rakyat dengan pelaburan, keusahawanan, perdagangan dan penggunaan, selain menyalurkan tabungan kepada aktiviti yang dapat menjana nilai serta membantu menggerakkan ekonomi

“Sepanjang enam dekad pembangunan Malaysia, perkembangan institusi perbankan telah membantu meningkatkan keterangkuman kewangan iaitu membolehkan lebih ramai rakyat dan perniagaan mendapatkan akses kepada akaun bank, pembiayaan, sistem pembayaran dan pelbagai perkhidmatan kewangan.

“Ini penting kerana ekonomi tidak boleh berkembang secara optimum sekiranya sebahagian besar masyarakat berada di luar sistem kewangan formal. Bagi perusahaan pula, akses kepada pembiayaan membolehkan modal yang diperlukan untuk memulakan, mengembangkan dan memodenkan perniagaan diperoleh dengan lebih mudah,” katanya.

Barjoyai berkata, peluasan akses kewangan perlu seiring peningkatan literasi supaya rakyat bukan sahaja mempunyai kemudahan perbankan tetapi memahami cara menggunakannya secara produktif, selamat dan bersesuaian dengan kemampuan.

Katanya, sokongan kepada PKS serta perkembangan perbankan digital juga penting supaya kemajuan ekonomi dan teknologi dapat dimanfaatkan oleh lebih banyak lapisan masyarakat termasuk perniagaan kecil serta komuniti yang sebelum ini mempunyai akses lebih terhad.

“Keterangkuman kewangan perlu dilihat sebagai gabungan tiga perkara iaitu akses, kemampuan menggunakan perkhidmatan kewangan dan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan yang baik. 

“Jika ketiga-tiganya dapat diperkukuh, kesannya bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada produktiviti dan daya tahan ekonomi negara.

“Pada masa sama, perbankan digital boleh mengurangkan kos transaksi dan menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah dicapai oleh perniagaan kecil dan masyarakat di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, kemampuan institusi tempatan bertahan dalam tempoh yang panjang serta bersaing di luar negara turut membuktikan keupayaan syarikat Malaysia menyesuaikan peranan dengan perubahan ekonomi dan keperluan pasaran.

“Maybank boleh dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi ekonomi Malaysia, daripada ekonomi yang berasaskan komoditi dan perdagangan kepada ekonomi yang semakin berasaskan perkhidmatan, kewangan, teknologi dan jaringan serantau,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN