KUALA TERENGGANU: Peningkatan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion pada tahun depan merupakan langkah signifikan dalam memastikan kemudahan pendidikan berada pada tahap terbaik.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kamsah@Kamal Mohamed berkata, tambahan peruntukan memberi ruang lebih besar kepada pihaknya menangani keperluan penyelenggaraan di 508 sekolah di negeri ini, khususnya yang sudah berusia lebih 50 tahun.
Katanya, kebanyakan sekolah berdepan pelbagai bentuk kerosakan akibat faktor usia selain memerlukan penyelenggaraan berkala bagi memastikan keselamatan dan keselesaan warga sekolah.
“Tentunya ia memberikan ruang lebih besar untuk kita menangani keperluan penyelenggaraan yang tertangguh dan memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat, kondusif, ceria dan selesa untuk murid dan guru.
“Lebih penting, peruntukan perlu diterjemah kepada tindakan cepat, tepat dan berimpak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Keutamaan wajar diberikan kepada aspek keselamatan termasuk kerosakan bumbung, pendawaian elektrik, tandas, saliran, bangunan, pagar dan kemudahan asas lain.
Penyelenggaraan berkala mengelakkan kerosakan kecil menjadi serius sekali gus memerlukan kos pembaikan lebih tinggi.
“Bagi Terengganu yang mempunyai sekolah di kawasan bandar, luar bandar, pedalaman, pesisir pantai dan kawasan yang berdepan faktor cuaca serta persekitaran yang berbeza, pendekatan penyelenggaraan juga perlu mengambil kira keperluan sebenar setiap sekolah.
“Pendekatan tidak seharusnya hanya berdasarkan pembahagian secara sama rata, sebaliknya keutamaan diberikan berdasarkan tahap keperluan dan keadaan sebenar setiap sekolah,” katanya.
Kamsah berkata, aspek kecekapan pengurusan peruntukan perlu diberi perhatian supaya setiap ringgit yang disalurkan memberikan nilai terbaik kepada sektor pendidikan.
Justeru, perancangan, pemantauan, tatakelola dan penetapan keutamaan projek perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan manfaat peruntukan sampai kepada sekolah.
“Sekolah selamat bukan sekadar tempat belajar tetapi asas kepada pembentukan ekosistem pendidikan berkualiti.
“Peningkatan peruntukan wajar diterjemah melalui pengurusan cekap, amanah dan berintegriti demi memastikan anak-anak Terengganu belajar dalam persekitaran terbaik,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam ikhtiar untuk rakyat termasuk bersetuju meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 sebanyak 50 peratus, iaitu daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Peningkatan melibatkan semua aliran sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta institusi pendidikan khas. – UTUSAN










