KOTA BHARU: Walaupun memiliki kekurangan kerana tidak dapat mendengar dan pada masa sama suara yang dilontar atau diucapkan sukar difahami, atas semangat untuk meningkatkan keimanan, mereka cekal mahu belajar mengaji al-Quran.
Atas semangat itu, seramai 14 orang kurang upaya (OKU) pendengaran menyertai program kelolaan Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) di Surau Al-Hikmah di sini.
Langkah itu diambil kerana mereka mahu mempelajari setiap bacaan dan sebutan yang betul terutama untuk mendirikan solat.
Kira-kira sebulan yang lalu, insan-insan istimewa yang terdiri daripada lapan wanita dan enam lelaki mula mengaji dengan mengenali setiap huruf hijaiyah.
Semalam, mereka memulakan sesi membaca surah al-Fatihah yang menjadi kewajipan dalam solat.
Untuk sesi pertama, mereka diajar membaca surah al-Fatihah secara berdepan seorang demi seorang dengan dipimpin oleh guru dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Mohd. Nurul Hisyam Mohamed.
Oleh kerana tidak boleh mendengar, setiap peserta turut diberi tunjuk ajar mengeluarkan suara termasuk melalui bantuan perantaraan seorang jurubahasa isyarat daripada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
Langkah menggunakan khidmat jurubahasa isyarat itu adalah bagi memberikan kefahaman serta ketepatan sebutan yang betul.
Kelas pengajian al-Quran yang mengambil masa lebih dua jam itu kemudian diselitkan sesi pengenalan kepada surah al-Ikhlas.
Guru terlibat akan terlebih dahulu menulis dengan tulisan rumi surah yang hendak dibaca dan diikuti penerangan mengenainya sebelum cara bacaan serta sebutan yang betul diajarkan.
Bagi POPK dan MFD, mempelajari al-Quran dengan betul adalah sesuatu inisiatif yang amat membanggakan kerana ia merupakan sebahagian tuntutan dalam Islam.
Kelas mengaji al-Quran itu akan diteruskan pada setiap minggu dan terbuka kepada semua OKU pendengaran di negeri ini. – UTUSAN










