KUALA TERENGGANU: Ribuan penduduk setempat membanjiri lokasi pemindahan gajah sesat di Kampung Jeram, Manir, di sini, semalam bagi menyaksikan haiwan berkenaan dipindahkan selepas menggemparkan kawasan kampung itu sejak Jumaat lalu.
Ada dalam kalangan penduduk datang ke lokasi sejak awal pagi bersama ahli keluarga, termasuk membawa anak dan cucu kerana tidak mahu terlepas peluang melihat sendiri operasi pemindahan haiwan berkenaan.
Mohd. Zaid Abdul Rahmat, 62, dari Kampung Jeram berkata, kehadiran haiwan itu pengalaman pertama buat penduduk kerana sepanjang menetap di situ puluhan tahun lalu, dia tidak pernah menyaksikan gajah muncul dan melalui proses pemindahan seperti itu.
“Ini kali pertama gajah datang ke kampung ini dan melalui proses pemindahan seperti ini. Sebab itu saya begitu teruja untuk melihatnya sendiri.
“Saya sudah tengok gajah ini sejak Jumaat lalu dan hari ini datang lagi bersama cucu. Kami datang awal pagi supaya tidak terlepas peluang menyaksikan proses pemindahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Yusof Zulkifli, 32, dari Kampung Kubang Parit berkata, dia bersama isteri dan anaknya datang untuk kali kedua bagi menyaksikan operasi berkenaan.
Nurul Ain Bakri, 37, dari Kampung Banggol Peradong, sudah tiga hari datang ke lokasi itu kerana mahu melihat sendiri gajah berkenaan.
Kejadian itu turut menarik perhatian anak-anaknya untuk melihat haiwan liar tersebut dari jarak selamat.
Dia turut lega apabila gajah yang berkeliaran di kawasan itu sejak Jumaat lalu ditangkap.
Selain melihat gajah yang diberi jolokan Mek Jeram itu, kehadiran denak iaitu Indah dan Suria turut mencuri perhatian penduduk yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama haiwan berkenaan.
Operasi pemindahan bermula kira-kira pukul 8 pagi itu berlangsung lancar dengan Mek Jeram berjaya dipujuk oleh kedua-dua gajah denak berkenaan dalam tempoh kira-kira 15 minit sebelum diiring ke lori pemindahan.
Jumaat lalu, kemunculan seekor gajah menggemparkan penduduk Kampung Jeram apabila haiwan berkenaan dilihat berkeliaran di kawasan kampung, selain memusnahkan tanaman tebu dan pisang milik penduduk.
Bagaimanapun, ia berjaya ditangkap Sabtu lalu sebelum dijinakkan bagi membolehkan operasi pemindahan dilakukan dengan bantuan dua ekor gajah denak. – UTUSAN










