PATTANI (THAILAND): Seorang anggota kumpulan pemisah Selatan Thailand maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan dalam satu operasi di Daerah Nong Chik, di sini, kelmarin.
Insiden itu tercetus kira-kira pukul 3 petang apabila Unit Operasi Khas Wilayah Pattani menerima maklumat daripada anggota sekatan jalan raya di Mukim Tha Kam Cham mengenai sebuah pikap dipandu lelaki mencurigakan yang enggan berhenti untuk pemeriksaan.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, suspek bertindak memecut kenderaannya sebaik sahaja anggota keselamatan memperkenal diri untuk membuat pemeriksaan sebelum dikejar pasukan penguat kuasa.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri dan dipercayai bersembunyi di sebuah rumah di mukim sama kira-kira pukul 3.35 petang.
“Pasukan keselamatan cuba menyelesaikan situasi secara aman melalui rundingan dengan melibatkan pemimpin komuniti dan tokoh agama supaya suspek menyerah diri.
“Pada masa sama, sebuah dron digunakan untuk meninjau keadaan di sekitar rumah berkenaan. Bagaimanapun, suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah dron sebelum menembak ke arah anggota keselamatan serta membaling bom paip pada pukul 4.50 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sumber itu berkata, tindakan agresif suspek memaksa pasukan keselamatan mengambil tindakan balas secara taktikal mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, pertempuran berkenaan berlarutan beberapa jam sebelum keadaan kembali tenang kira-kira pukul 7.50 malam.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati suspek meninggal dunia. Suspek dikenal pasti sebagai Masakri, 26, yang dipercayai anggota operasi kumpulan pemisah Selatan Thailand dan dikehendaki di bawah Perintah Darurat 2005.
“Lelaki berkenaan turut dikaitkan dengan beberapa insiden pengeboman di Wilayah Krabi, Phuket dan Phang Nga,” ujarnya.
Menurut sumber itu, dalam operasi tersebut, pihak berkuasa merampas sepucuk raifal M16, selaras pistol, bom paip, peluru serta beberapa bahan dipercayai berkaitan aktiviti kumpulan pemisah.
Katanya, tiada ada anggota pasukan keselamatan dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN










