Bukan parti ‘tin Milo’, Pas ada dana PRN, PRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MUKADIMAH
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Pas menegaskan bahawa parti itu berada dalam keadaan bersedia dari segi jentera dan kewangan hasil sokongan berterusan ahlinya di seluruh negara melalui pendekatan kutipan dana yang tersusun dan penggunaan teknologi digital, Pas yakin mampu menghadapi cabaran politik semasa tanpa bergantung kepada sumber luar.

Bendahari Pas, DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD turut menekankan bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang dekat dengan rakyat khususnya kos sara hidup, selain menawarkan penyelesaian yang realistik dan meyakinkan.

Dalam wawancara bersama. Wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, M. FIRDAUS M. JOHARI, beliau turut mengulas mengenai halatuju kerjasama Pas dan Bersatu dalam PN dengan menegaskan parti itu sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dan sekali lagi mengingatkan kesabaran parti juga ada hadnya.

KUMPUL DANA DALAM MASA SINGKAT
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana kedudukan dana dan kewangan Pas ketika ini mampu menyokong gerak kerja jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang?
Persiapan Pas untuk menghadapi pilihan raya sama ada daripada segi jentera atau kewangan berlaku sepanjang masa. Walaupun jika berlaku pilihan raya mengejut, Pas tetap akan bersedia.

Sepertimana PRN Johor yang akan berlangsung, Pas boleh mengumpul dana yang banyak dalam masa singkat menerusi ahli-ahli dan cawangan Pas di seluruh negara.

Sekarang ini lebih senang untuk menyumbang dengan potongan terus dari akaun bank (direct debit). Skim ini bernama Infaq Istiqamah dan menyasarkan setiap ahli menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan. Pas memiliki lebih kurang satu juta orang ahli. Bayangkan berapa banyak dana yang kami dapat kumpulkan setiap bulan.

DIPERLEKEH PARTI ‘TIN MILO’
Pas pernah dituduh dan difitnah menerima dana judi serta dana politik daripada UMNO sebelum ini, apakah isu dana bakal digunakan lagi parti lawan yang seolah melabel Pas sebagai parti ‘miskin’ serta tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak?
Tuduhan menggunakan dana judi dan menerima dana dari UMNO tidak pernah dibuktikan oleh pihak yang menuduh. Ia adalah satu fitnah.

Pas mungkin parti miskin tetapi duit Pas berada di dalam poket ahli-ahlinya. Mereka komited untuk menyumbang. Keahlian Pas hari ini adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Daripada peniaga kecil kepada jutawan, petani kepada profesional yang berjaya. Daripada pemandu teksi kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat. Mereka mempunyai kesedaran yang tinggi dan sentiasa menyumbang untuk memastikan Pas mampu bergerak sebagai sebuah parti politik yang berkesan.

Ada yang memperlekehkan Pas sebagai ‘parti tin Milo’. Pada hakikatnya mereka ini iri hati dengan kejayaan Pas yang dapat mengumpul dana. Justeru label ini tidak akan melemahkan semangat ahli-ahli.

KOS KEMPEN PILIHAN RAYA MENINGKAT
Dalam keadaan kos kempen dan operasi pilihan raya yang semakin meningkat, apakah langkah yang diambil Pas untuk memastikan jentera di semua peringkat mempunyai sumber yang mencukupi?
Kos sara hidup meningkat yang akan memberi kesan kepada kos-kos lain seperti kos berkempen. Contohnya, kenaikan harga minyak sudah tentu akan meningkatkan kos kempen kerana kos pengangkutan akan meningkat. Kos pengangkutan untuk penceramah dan petugas sudah tentu akan meningkat.

Walau bagaimana teknologi masa kini dapat membantu untuk mengatasi kos tersebut. Contohnya, dengan kewujudan media sosial. Penerangan dapat disebarkan melalui media sosial dan secara online. Tidak perlu lagi penceramah-penceramah datang dari jauh. Tidak perlu lagi ramai petugas untuk menjayakan sesuatu program.

Malah secara online lebih efektif. Satu ceramah online boleh mendapat puluhan ribu view (tontonan) walhal satu ceramah fizikal boleh mendapat hanya ribuan atau ratusan.

Cara ahli-ahli dan penyokong-penyokong menyumbang adalah juga lebih mudah. Tidak perlu lagi ‘tin Milo’. Mereka boleh menyumbang secara online seperti menggunakan kod QR. Jadi, apabila wujud cabaran-cabaran, kami akan memikirkan cara untuk mengatasinya.

Bagaimana Pas mengimbangi keperluan perbelanjaan pilihan raya dengan komitmen kewangan parti yang lain?
Pas bukan sekadar sebuah parti politik tetapi ia adalah sebuah jemaah Islam. Program-program Pas merangkumi keseluruhan kehidupan seorang insan.

Pas adalah parti politik, gerakan dakwah dan gerakan tarbiyah, Pas adalah gerakan kebajikan, gerakan massa dan banyak lagi.

Politik dan pilihan raya mungkin hanya 30 peratus daripada gerak kerja Pas. Jadi, setiap RM10 yang disumbangkan kepada Pas hanya RM3 dibelanjakan untuk politik dan pilihan raya kecuali pungutan khusus untuk pilihan raya.

Oleh itu, perlu ada pengurusan kewangan yang berdisiplin untuk memastikan berlaku keseimbangan. Alhamdulillah ini dapat dilakukan kerana terdapat ramai berpengalaman menguruskan kewangan kerajaan, GLC atau syarikat korporat.

TUMPU ISU RAKYAT
Pada pandangan Datuk, apakah langkah strategik yang perlu diutamakan Perikatan Nasional (PN) seandainya berhasrat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada PRU16?
Pada saya PN perlu memberi tumpuan kepada keperluan-keperluan rakyat. Kita semua tahu kehidupan rakyat semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dan pengurangan subsidi.

Justeru PN perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka memiliki jalan penyelesaian atau alternatif untuk mengurangkan bebanan atau kesengsaraan rakyat.

Mereka tidak sepatutnya sekadar menyerang kerajaan tetapi tunjukkan satu alternatif yang berkesan. Ini bukan sahaja melibatkan isu kos sara hidup tetapi juga isu-isu lain di mana PN perlu mengemukakan cadangan-cadangan alternatif.

Saya ada mendengar orang kata pembangkang tidak memainkan peranan. Pada saya dakwaan ini berpunca daripada mereka yang berniat jahat atau mereka yang tidak menerima maklumat yang lengkap.
PN perlu fokus kepada maklumat-maklumat yang positif untuk PN dan bukan berterusan mencanang isu-isu pemecatan atau penggantungan ahli-ahli Parlimen yang tidak menguntungkan PN.

POTENSI RAMPAS PAHANG, PERAK, SELANGOR
Negeri mana yang dilihat sebagai peluang besar untuk direbut PN pada PRU dan PRN akan datang?
Kita berada di zaman di mana sokongan pengundi boleh berubah dalam sekelip mata. Salah satu sebabnya adalah pengaruh media sosial. Ini bermakna peluang untuk merampas negeri-negeri adalah terbuka luas. Walaupun dikatakan UMNO di Johor adalah ‘paling kuat di dunia’ tetapi ini tidak bermakna PN tidak dapat merampas Johor.

Bagaimanapun Pahang, Perak dan Selangor merupakan negeri paling berpotensi dirampas oleh PN pada PRN akan datang. Ini berdasarkan bilangan kerusi sedia ada yang dimiliki oleh PN.

Mereka tidak memerlukan begitu banyak kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan. Tambahan pula, Pas pernah menjadi sebahagian dari kerajaan negeri Selangor dan Perak. Jadi, Pas memiliki rangkaian di peringkat akar umbi yang kukuh.

Apakah langkah dan pendekatan yang perlu dilakukan Pas dan PN untuk untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar?
Pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar hari ini memang tidak berpuas hati dengan kerajaan Madani. PN perlu mengenalpasti punca rasa tidak puas hati mereka. Bukan sahaja mengenalpasti isu-isu tetapi mengemukakan penyelesaian. Malah penyelesaian tersebut perlu yang logik iaitu yang boleh dilaksanakan.

Kita berhadapan dengan rakyat yang bijak dan bermaklumat. Mereka tahu jika terdapat penyelesaian yang dicadangkan itu tidak masuk akal atau hanya sekadar untuk memancing undi tetapi tidak akan dilaksanakan.

PN atau mana-mana pakatan pembangkang perlu menunjukkan bahawa mereka berupaya untuk mengambil alih kerajaan. Mereka perlu benar-benar kelihatan seperti kerajaan menunggu atau ‘government-in-waiting’. Agar ini berlaku, mereka perlu memiliki kualiti kepimpinan yang berupaya menandingi kualiti pemimpin kerajaan Madani.

Mereka perlu memiliki pakar-pakar yang dapat meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia. PN juga perlu berperanan sama ada di kawasan yang mereka menang atau yang mereka kalah. Walaupun kalah, PN perlu memberi khidmat kepada rakyat di kawasan kalah itu.

Saya ambil contoh di kawasan saya di Parlimen Pandan, Selangor di mana PN kalah di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ada satu kes di mana Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menukar sebuah dewan di Kampung Perwira Jaya kepada sebuah pusat kitar semula.

Pas telah bersama-sama dengan penduduk membuat bantahan kepada MPAJ. Mereka marah kerana mereka telah dinafikan sebuah kemudahan komuniti. Sepatutnya PN melakukan perkara sama di kawasan-kawasan lain. Membantu penduduk mempertahankan hak mereka untuk meyakinkan mereka.

PAS EKSTREM SUDAH TIDAK RELEVAN
Adakah sentimen ekstremisme yang sering digunakan parti lawan terhadap Pas masih relevan untuk digunakan mereka bagi mendapat undi?
Sentimen itu telah ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi. Ahli-ahli Pas bukan sahaja terdapat di Pantai Timur tetapi di Lembah Klang dan di Pantai Barat. Bukan sahaja di luar bandar tetapi di bandar raya dan bandar-bandar.

Ahli-ahli Pas adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesyen. Ini bermakna mereka berinteraksi dengan masyarakat daripada pelbagai kaum serta pelbagai lapisan di dalam urusan seharian mereka dan sudah tentu ini membuat mereka lebih terbuka. Maka sudah tentu ini akan mempengaruhi sikap mereka di dalam politik.

Propaganda bahawa pimpinan dan ahli-ahli Pas adalah ekstrem dan fanatik tidak lagi dipercayai kerana rakyat boleh melihat dengan sendiri pimpinan dan ahli-ahli Pas tidak seperti yang digambarkan oleh pihak lawan.

Kehadiran Dewan Himpunan Pendokong Pas (DHPP) juga dapat menolak tuduhan bahawa Pas adalah parti ekstrem. Ahli-ahli DHPP adalah terdiri dari mereka yang bukan Islam. Terdapat Cina, India, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain. Malah terdapat ahli-ahli DHPP yang telah menjadi calon-calon pilihan raya Pas.

Ada yang telah menjadi pegawai-pegawai di pejabat Menteri Besar Pas. Ada yang telah dilantik sebagai Senator. Dengan itu, sudah tentu dakwaan Pas ekstrem adalah palsu.

SOLO ATAU GABUNG?
Adakah terhentinya kerjasama Pas dan Bersatu dalam PN boleh menjejaskan persiapan jentera dan sama ada hubungan yang putus ini bakal menjadi modal pihak lawan?

Sudah tentu pihak lawan yang kekurangan modal akan menggunakan isu tersebut. Saya yakin perkembangan terkini tidak akan menjejaskan persiapan pilihan raya.

Walaupun Pas terpaksa bergerak bersendirian, persiapan Pas adalah mencukupi. Jentera pilihan raya Pas sentiasa diperkukuhkan untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.

Pas telah memasuki pilihan raya sejak 1959. Sama ada bersendirian atau dalam gabungan, Pas tidak menghadapi masalah besar di dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Malah apabila berada di dalam gabungan, Pas telah menyumbang kepada kemantapan gerak kerja pilihan raya gabungan itu.

Pada pandangan Datuk apakah kesan perpecahan Pas dan Bersatu dalam gabungan PN boleh menjejaskan naratif penyatuan ummah dan Melayu?
Tidak, kerana Pas sejak dari dulu membawa agenda penyatuan ummah.

Malah di dalam kenyataan akhbar pada 8 Jun lepas, Pas menegaskan untuk meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.

Saya yakin majoriti umat Islam akan bersama-sama dengan Pas ke arah matlamat penyatuan ummah walau Bersatu tidak lagi bersama Pas. Ketika di dalam PN, Pas yang bersungguh-sungguh mahukan penyatuan ummah.

Sebab itu, Pas mahu parti-parti umat Islam seperti Pejuang dan Berjasa diterima ke dalam PN. Tetapi hasrat Pas ini tidak dipersetujui.

PN WUJUD ATAU TIDAK, TIDAK JEJAS PAS
Adakah keputusan Pas untuk menghentikan kerjasama politik ini menandakan pengakhiran kepada gabungan PN dan keperluan untuk mewujudkan gabungan baharu?
Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Pas sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.

Pas pernah menyertai Angkatan Perpaduan Ummah. Pas pernah menyertai Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat. Pas pernah menyertai Gagasan Sejahtera malah juga pernah bersendirian.

Pas pernah melalui segala-galanya. Pas mempunyai pengalaman yang luas di dalam kerjasama politik.

Sama ada PN wujud atau tidak, ia tidak akan menjejaskan Pas. Kami boleh mencari alternatif lain. Walaupun keadaan telah berubah dengan Bersatu tidak bersama Pas tetapi “Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin” bersedia menjalinkan kerjasama Pas.

Adakah perpecahan Pas/Bersatu membuka peluang undi Melayu-Islam pergi kepada UMNO?
Tidak semestinya. UMNO telah ditolak oleh majoriti pengundi Melayu pada pilihan raya umum yang lepas.

Para pengundi Melayu menyokong PN. Saya yakin mereka yang sebelum ini mengundi PN akan sekali lagi mengundi calon-calon Pas di mana parti meletakkan calon.

Mereka tidak akan berpindah kepada UMNO atau BN. Muafakat Nasional telah berubah tetapi UMNO tidak berubah. Sebab-sebab kenapa orang Melayu menolak UMNO masih relevan. Jadi, saya yakin orang Melayu tetap akan memilih Pas dan bukan UMNO.

KEWIBAWAAN DR. SAM
Pandangan Datuk mengenai dakwaan pihak tertentu mempersoalkan kemampuan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri yang kini perlu menanggung beban dengan memakai ‘banyak topi’ jawatan?
PMX ( Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga memakai banyak topi. Sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden PKR. Cabaran beliau lebih berat memandangkan perpecahan yang berlaku di dalam PKR.

Peningkatan keahlian Bersama di bawah pasukan Datuk Seri Rafizi Ramli sudah tentu memberi tekanan kepada PMX.

Terdapat juga Menteri-Menteri Besar lain yang juga ahli Parlimen. Jadi, kenapa perlu fokus kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri?

Saya tidak nampak banyak masalah untuk Dr. Samsuri. Beliau memiliki pasukan yang kuat untuk memberikan sokongan bagi menjalankan tugas sama ada sebagai Menteri Besar atau Ketua Pembangkang.

Di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang, terdapat 42 Ahli Parlimen Pas dan juga Ahli-Ahli Parlimen PN yang lain untuk membantu beliau.

Pada PRU-15 kerjasama antara parti dalam bentuk gabungan menjadi penentu untuk membentuk kerajaan, adakah situasi ini dilihat bakal berterusan pada PRU16, tiada parti yang dominan seperti contoh yang berlaku di PRN Sabah lalu?
Kestabilan politik di Malaysia hanya dapat dicapai apabila orang Melayu tidak berpecah-belah.

Apabila orang Melayu berpecah, sukar untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan mampu bertahan dalam jangka panjang.

Pengalaman sejak 2018 menunjukkan bahawa perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu telah menyaksikan kerajaan yang dibentuk silih berganti dan kurang stabil. Keadaan ini bukan sahaja merugikan orang Melayu, malah memberi kesan kepada seluruh negara iaitu termasuk kepada orang Cina, India dan bangsa-bangsa lain.

Ketidakstabilan politik mewujudkan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap hala tuju negara. Dari sudut ekonomi, kestabilan politik merupakan antara faktor penting yang dipertimbangkan oleh para pelabur sama ada dari dalam atau luar negara.

Apabila kerajaan sering bertukar dan dasar-dasar berubah mengikut keadaan politik semasa, pelabur akan menjadi lebih berhati-hati dan tidak berani untuk membuat pelaburan.

Justeru, kestabilan politik bukan sekadar kepentingan sesuatu kaum atau parti politik, tetapi prasyarat penting bagi memastikan kemakmuran dan kemajuan negara secara keseluruhannya.- Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN