DALAM era globalisasi yang semakin kompleks dan sukar diramal, keupayaan membuat keputusan tepat bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan utama.
Pemimpin serta pembuat dasar berdepan cabaran mengurus sumber terhad, mengurangkan risiko dan memastikan setiap tindakan memberi manfaat kepada rakyat.
Selama ini, pengalaman, kebiasaan dan gerak hati sering menjadi sandaran dalam menentukan sesuatu keputusan.
Namun, perkembangan data raya dan kecerdasan buatan (AI) menuntut pendekatan yang lebih tersusun, berasaskan bukti serta analisis.
Di sinilah pentingnya Sains Pemutusan, iaitu bidang yang menggabungkan matematik, statistik, penyelidikan operasi, sains tingkah laku dan analisis data.
Pendekatan ini menyediakan pelbagai kaedah seperti pemodelan simulasi, analisis keputusan pelbagai kriteria, teori permainan dan pengoptimuman bagi membantu menghasilkan pertimbangan yang lebih rasional.
Kaedah saintifik tidak bermaksud mengetepikan pengalaman manusia. Sebaliknya, analisis data berperanan memperkukuh pertimbangan pemimpin, mengurangkan bias kognitif serta membolehkan pelbagai senario, kos, manfaat dan risiko dinilai sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
Malaysia menggunakan analisis data dalam perancangan kewangan, rantaian bekalan dan pengangkutan.
Namun, penggunaannya boleh diperkasakan pada tahap strategik, khususnya bagi menyokong agenda seperti Malaysia Madani, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan penyasaran subsidi.
Pemodelan sosioekonomi yang tepat penting untuk memastikan golongan rentan dilindungi serta mengurangkan ketirisan.
Dalam pengurusan institusi besar negara, keputusan kewangan dan pelaburan juga perlu berasaskan analisis risiko yang telus. Isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), misalnya, menunjukkan kepentingan membuat pertimbangan berdasarkan fakta, bukan semata-mata sentimen. Pada peringkat individu pula, keputusan terburu-buru akibat panik boleh membawa kesan yang tidak dijangka.
Sehubungan itu, literasi pemutusan wajar diterapkan sejak pendidikan tinggi.
Mahasiswa daripada semua bidang perlu menguasai asas pemikiran analitikal supaya mampu menilai maklumat secara objektif dan membuat pertimbangan berasaskan fakta.
Pada masa sama, kepakaran sains kuantitatif di institusi pengajian tinggi perlu dihubungkan dengan kerajaan dan industri bagi menangani persoalan nasional secara empirikal.
Masa depan negara banyak bergantung pada mutu keputusan yang dibuat hari ini. Sinergi antara sains, data dan tadbir urus mampu melahirkan pentadbiran yang lebih cekap, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran mendatang. – UTUSAN
DR. MOHD KAMAL MOHD .NAWAWI
Profesor Madya (Sains Pemutusan)
& bekas Dekan,
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










