Pasca AUKU: Impak pada mahasiswa

PEMANSUHAN Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu disusuli reformasi menyeluruh bagi mewujudkan universiti yang lebih bebas, matang dan bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka ruang baharu untuk memperkukuh kebebasan akademik, autonomi institusi serta budaya intelektual.

Dalam mendepani tuntutan sosial dan ekonomi abad ke-21, pemansuhan akta ini dilihat relevan bagi melahirkan mahasiswa yang matang, berani berfikir secara kritis dan mampu menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab.

Ruang demokrasi yang lebih luas juga dapat memperkasa pertubuhan pelajar serta warga akademik. Universiti tidak seharusnya dilihat sebagai institusi yang sekadar menghasilkan graduan untuk pasaran pekerjaan, sebaliknya perlu menjadi medan percambahan idea, perdebatan ilmiah dan pembentukan pemikiran yang menyumbang kepada kemajuan negara.

Sebahagian peruntukan sedia ada perlu dinilai semula selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Seperti yang diutarakan Dr. Jufitri Johar, mahasiswa sebagai warganegara dewasa wajar diberikan ruang untuk mengkritik, berorganisasi serta menyampaikan pandangan konstruktif tanpa rasa gentar terhadap tindakan tatatertib secara sewenang-wenangnya. Pengalaman sedemikian penting dalam membentuk kepimpinan muda yang berani dan berintegriti.

Bagaimanapun, kerangka perundangan baharu yang menyeluruh amat diperlukan.

Proses penggubalan wajar melibatkan mahasiswa, ahli akademik, pengurusan universiti, pakar undang-undang dan pertubuhan masyarakat supaya kerangka baharu benar-benar mencerminkan keperluan semua pihak.

Autonomi institusi perlu diperkukuh dengan memberikan ruang lebih luas kepada Senat Universiti dalam urusan akademik, penyelidikan dan penerbitan.

Hak serta kebajikan mahasiswa pula boleh diperkasa melalui kesatuan pelajar yang bebas daripada pengurusan universiti.

Mekanisme semak dan imbang seperti Ombudsman Pengajian Tinggi atau tribunal bebas juga wajar dipertimbangkan bagi memastikan sebarang pertikaian dikendalikan secara adil.

Kebebasan kampus yang lebih terbuka menunjukkan bahawa mahasiswa mampu berkembang sebagai kelompok yang matang apabila diberikan ruang menyuarakan pandangan.

Namun, kebebasan tidak bermaksud tiada batas. Ia perlu disertai tanggungjawab, integriti ilmiah serta penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kenegaraan.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman mengingatkan bahawa perubahan tersebut perlu dilihat secara holistik bagi mencapai matlamat pendidikan, iaitu melahirkan masyarakat berilmu dan berakhlak.

Jika reformasi ini dilaksanakan secara telus serta berpandukan pengalaman antarabangsa dan nilai kenegaraan, era baharu pendidikan tinggi Malaysia berpotensi melahirkan generasi intelek yang bukan sahaja berani berhujah berasaskan fakta, malah berakhlak, bertanggungjawab dan mampu mengangkat martabat negara ke peringkat dunia. – UTUSAN

CHE HASNIAH YA’ACOB
Unit Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN