Ducati, Aprilia terus bersaing hingga akhir musim  

Selepas ketinggalan kepada Aprilia dalam tiga pusingan pembukaan, Ducati bangkit menerusi kemenangan berganda Marc Marquez dan Alex Marquez di Jerez. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Ducati dan Aprilia dijangka terus bersaing sengit sehingga penghujung musim MotoGP dengan kekuatan kedua-dua pasukan bergantung kepada karakteristik setiap litar.

Pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi berkata, persaingan antara kedua-dua pengeluar itu dijangka silih berganti berdasarkan kesesuaian litar terhadap jentera masing-masing.

“Keadaannya akan seperti ini. Akan ada litar yang memihak kepada Aprilia dan Ducati sehingga penghujung musim,” katanya.

Selepas ketinggalan kepada Aprilia dalam tiga pusingan pembukaan, Ducati bangkit menerusi kemenangan berganda Marc Marquez dan Alex Marquez di Jerez.

Sejak itu, kejuaraan pengeluar menyaksikan persaingan sengit dengan Aprilia mengungguli di Le Mans, Mugello, Assen dan Silverstone manakala Ducati menguasai Catalunya, Balaton, Brno serta Sachsenring.

Dalam persaingan kejuaraan pelumba pula, keadaan lebih tidak menentu apabila keempat-empat pelumba Aprilia masing-masing mengalami sekurang-kurangnya satu kegagalan menamatkan perlumbaan (DNF) dalam lima pusingan terakhir.

Juara bertahan Marc Marquez daripada Ducati, mengambil kesempatan untuk mengurangkan defisit 102 mata kepada hanya 18 mata selepas perlumbaan di Sachsenring.

Namun, di Silverstone menjadi episod mengecewakan buat pelumba Sepanyol itu apabila dia merosot ke tempat kesembilan akibat kemerosotan prestasi tayar yang ketara.

“Kami tidak menjangkakan masalah besar itu dalam perlumbaan pecut. Kami menyangka mungkin boleh bersaing untuk tempat keempat, kelima atau keenam. Bukannya kesembilan,” kata Tardozzi. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN