ARAGON: Marc Marquez terus membuktikan penguasaannya di litar yang berlawanan arah jam apabila meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam Grand Prix (GP) Aragon, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Kejuaraan MotoGP, Jorge Martin.
Kemenangan kelapan pelumba Ducati itu di MotorLand hadir selepas pertarungan sengit dengan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, yang bermula dari petak pertama.
Marquez melakukan pintasan dramatik pada pusingan keenam apabila kedua-dua pelumba bergandingan pada kelajuan melebihi 300 kilometer sejam sebelum juara dunia itu berjaya memintas Bezzecchi.
Bagaimanapun Marquez mengakui melakukan kesilapan besar pada awal perlumbaan apabila terlupa mengaktifkan peranti ketinggian belakang, menyebabkan jenteranya hilang kelajuan di selekoh kedua dan ketiga.
“Saya melakukan kesilapan besar hari ini kerana terlupa peranti ketinggian belakang. Apabila memasuki selekoh kedua, peranti itu kembali aktif dan menyebabkan saya sangat perlahan. Dua pelumba memintas saya,” kata Marquez.
KTM menerusi Pedro Acosta menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sekali gus mencatat podium ke-14 dalam kariernya dalam MotoGP, manakala Bezzecchi melengkapkan podium di tempat ketiga, diikuti adik Marquez, Alex.
Kemenangan itu membolehkan Marquez mengutip mata maksimum selepas turut memenangi perlumbaan pecut sehari sebelumnya, sekali gus melonjak ke tangga kedua kejuaraan dengan 237 mata, mengatasi Bezzecchi yang mengumpul 232 mata.
Martin yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima kekal di puncak dengan 256 mata, namun kelebihan pelumba Aprilia itu kini semakin mengecil selepas Marquez mempamerkan prestasi dominan di Aragon. – AGENSI










