PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe dijangka terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi baharu diyakini mampu memperkuatkan lagi pasukan kebangsaan.
Menurut sumber, selepas berjaya membawa Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN 2026, pengendali berusia 58 tahun itu dilihat masih menjadi calon paling sesuai untuk meneruskan perancangan dan pembentukan skuad negara.
Apa yang lebih menarik katanya, bekas pengendali Kedah dan Selangor itu dijangka mendapat peluang untuk menurunkan kesebelasan terbaik apabila beberapa pemain naturalisasi baharu mula menyertai pasukan kebangsaan pada September ini.
“Saya lihat Cheng Hoe akan terus diberikan tugas untuk kendalikan Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2026, dia telah lakukan tugas yang baik ketika membawa Malaysia ke separuh akhir Piala ASEAN biarpun tidak dibarisi skuad terbaik.
“Selain itu, faktor masa yang singkat juga menyebabkan kesukaran untuk badan induk bola sepak negara memilih jurulatih baharu. Untungnya ada Cheng Hoe adalah dia sudah kenal pemain-pemain yang ada dan mampu bentuk pasukan dalam masa singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Skuad negara akan beralih tumpuan kepada saingan Piala ASEAN FIFA yang bakal berlangsung dari 23 September hingga 3 Oktober depan di Indonesia.
Malaysia diletakkan sekumpulan dengan tuan rumah skuad Garuda, Singapura dan Bangladesh dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B pula diisi Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan.
Untuk kejohanan yang berlangsung dalam kalendar FIFA itu, Harimau Malaya dijangka tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pemain terbaik termasuk pemain naturalisasi baharu yang bermain untuk Johor Darul Ta’zim (JDT).
Antara nama yang menjadi tumpuan ialah penyerang prolifik Harimau Selatan, Bergson Da Silva yang dijangka mampu menjadi senjata baharu di bahagian serangan Harimau Malaya selain Manuel Hidalgo untuk mengawal jentera tengah.
Dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) yangs sudah bermula, Cheng Hoe boleh memilih pemain berdasarkan prestasi dan kesesuaian taktikal, selain meningkatkan persaingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Namun, pembentukan kesebelasan terbaik tidak akan berlaku secara automatik kerana semua pemain perlu diberi masa untuk membina keserasian, terutama dalam memahami corak permainan dan falsafah yang diterapkan Cheng Hoe. – UTUSAN










