PETALING JAYA: Kegagalan Malaysia menyerlah di Piala Dunia 2026 mungkin membuka ruang kepada wajah baharu untuk mengisi skuad kebangsaan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 walaupun peralihan itu perlu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan pengalaman tidak hilang begitu sahaja.
Selepas kempen Piala Dunia yang hambar, perhatian kini beralih kepada Sukan Asia dengan skuad hoki negara dijangka mengalami perubahan susulan kewujudan kelompok pemain muda yang semakin menyerlah.
Berdasarkan kumpulan latihan yang dibentuk ketua jurulatih kebangsaan, Brendon Carolan seramai 16 pemain berusia bawah 28 tahun kini berada dalam kelompok 34 pemain yang berlatih bersama setiap minggu.
Angka itu dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa skuad negara mempunyai kelompok pelapis yang mampu mengambil alih tanggungjawab pemain senior secara berperingkat, sekali gus menjadikan rombakan skuad Piala Dunia baru-baru ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Lebih menarik, beberapa pemain muda sudah membuktikan kemampuan mereka di pentas tertinggi apabila Azrai Aizad Abu Kamal muncul antara tonggak pasukan dengan meledak empat gol, manakala Akhimullah Anuar Esook menyumbang tiga gol dan Shello Silverius dua gol dalam kempen Piala Dunia.
Bagaimanapun, Carolan enggan mengangkat mana-mana pemain secara individu, sebaliknya menegaskan peningkatan pemain muda perlu dilihat sebagai perkembangan secara keseluruhan.
“Tidak, saya tidak akan katakan begitu. Ada beberapa pemain muda dalam kumpulan ini. Kami mempunyai kumpulan seramai 34 orang yang berlatih bersama setiap minggu.
“Itulah kumpulan yang kami anggap sebagai kumpulan terbaik setakat ini. Dalam skuad latihan seramai 34 orang, kami mempunyai 16 pemain yang berumur di bawah 28 tahun,” katanya.
Menurut Carolan, jurang antara pemain muda dan senior kini semakin mengecil hasil pendedahan yang diberikan menerusi kelompok latihan lebih besar.
“Anda akan lihat apabila mereka kembali untuk pusingan kedua Liga Hoki Malaysia, pemain-pemain muda ini akan benar-benar menunjukkan peningkatan,” katanya. – UTUSAN










