Lupakan Piala Dunia, fokus Sukan Asia – Carolan

AKSI Malaysia menentang Wales dalam kempen Piala Dunia 2026 di Belgium yang berakhir seri 2-2 sebelum Speedy Tigers tewas pada penentuan penalti. - PERSEKUTUAN HOKI ANTARABANGSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara perlu segera melupakan aksi hambar kempen Piala Dunia Hoki 2026 dan menjadikan Sukan Asia pada September ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuan sebenar pasukan.

Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan mengakui pencapaian skuad negara di kejohanan berprestij itu tidak mencapai sasaran, namun beliau tetap melihat banyak perkembangan positif sepanjang kempen terutama dari segi konsistensi dan keberanian mencabar pasukan gergasi dunia.

Katanya, tiga keputusan seri yang diraih membuktikan Speedy Tigers mampu memberikan saingan sengit, cuma kelemahan melepaskan gol mudah pada detik penting masih menjadi masalah yang perlu segera ditangani.

“Sudah tentu kami mahu menamatkan saingan di kedudukan lebih tinggi. Jika melihat kepada tiga keputusan seri, kami lebih konsisten, cuma sekali lagi kami melepaskan gol mudah pada saat penting ketika sedang mendahului.

“Dari segi prestasi, saya fikir ia bagus hari ini. Namun kami juga mensia-siakan beberapa peluang jelas yang sepatutnya membolehkan kami menjauhkan diri,” katanya.

Kegagalan memanfaatkan peluang ketika berdepan Wales dalam aksi terakhir yang berkesudahan 2-2 sebelum Malaysia tewas menerusi penentuan pukulan penalti turut menjadi perhatian Carolan.

Beliau kecewa apabila anak buahnya gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan, termasuk deretan enam atau tujuh pukulan sudut penalti berturut-turut, yang sepatutnya mampu mengubah keputusan perlawanan.

Justeru, Carolan mahu aspek penyudah dan keteguhan benteng dipertingkatkan segera, lebih-lebih lagi tempoh dua minggu akan datang dianggap penting dalam persiapan menghadapi cabaran seterusnya.

“Penting untuk kami menjadi lebih baik dalam tempoh dua minggu akan datang. Dari segi keputusan, jelas ia bukan apa yang kami mahukan, tetapi dari segi prestasi, kami semakin baik dan semakin hampir.

“Kami perlu lebih konsisten untuk meletakkan diri dalam separuh akhir dan kemudian final,” katanya.

Kini, Carolan mahu anak buahnya menjadikan pengalaman di Piala Dunia sebagai pengajaran berharga dan tidak terus terperangkap dalam kekecewaan, sebaliknya mengalihkan perhatian kepada misi memburu kejayaan di Sukan Asia.

“Kekal positif. Saya fikir kami menghasilkan beberapa keputusan baik menentang pasukan yang sangat besar. Teruskan menyokong kami dan saya berjanji kami akan memberikan persembahan yang baik di Sukan Asia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN