Wanita Bersenjata Dua Pisau Tikam Orang Ramai Secara Rawak Di Times Square
Oleh Mynewshub
NEW YORK – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas ditikam secara rawak oleh seorang wanita bersenjatakan dua bilah pisau dapur di Times Square, di sini, petang Isnin.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Pamela Cisneros, 49, dari Queens, kemudian ditembak mati oleh anggota Jabatan Polis New York (NYPD) selepas didakwa enggan meletakkan senjata dan bergerak ke arah polis.
Menurut NYPD, kejadian bermula kira-kira pukul 4.24 petang berhampiran persimpangan West 41st Street dan Seventh Avenue apabila suspek mengeluarkan dua pisau daripada sebuah beg sebelum menikam seorang lelaki berusia 68 tahun di bahagian perut.
Kira-kira 20 saat kemudian, suspek dipercayai menyerang seorang wanita berusia 32 tahun berhampiran West 42nd Street.
Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital, namun mangsa wanita disahkan meninggal dunia. Mangsa lelaki dilaporkan berada dalam keadaan stabil, walaupun laporan awal menyebut keadaannya kritikal.
Rakaman tular menunjukkan beberapa anggota polis mengepung suspek sambil berulang kali mengarahkannya supaya meletakkan pisau.
Polis kemudian menggunakan senjata renjatan elektrik atau Taser, namun tindakan itu gagal menghentikan suspek. Wanita berkenaan didakwa mencabut probe Taser sebelum terus menghampiri anggota polis sambil masih memegang kedua-dua pisau.
Dua anggota polis kemudian melepaskan tembakan selepas suspek terus mara dan didakwa mengancam untuk membunuh mereka.
Cisneros dibawa ke Hospital Bellevue sebelum disahkan meninggal dunia.
Seorang individu yang merakam kejadian mendakwa salah seorang mangsa ditikam ketika berada betul-betul di hadapannya.
“Boleh jadi saya yang terkena,” katanya, menggambarkan betapa pantas serangan itu berlaku.
Pesuruhjaya NYPD, Jessica Tisch berkata, suspek mempunyai rekod insiden berkaitan kesihatan mental pada 2018 dan 2019, tetapi tidak mempunyai rekod tangkapan terdahulu.
Polis setakat ini tidak menemui sebarang petunjuk bahawa serangan berkenaan mempunyai kaitan dengan keganasan atau terorisme.
Siasatan terhadap keseluruhan kejadian termasuk tindakan anggota polis melepaskan tembakan sedang dijalankan mengikut prosedur standard. Rakaman kamera badan anggota terlibat juga akan diteliti.
Identiti kedua-dua mangsa belum diumumkan sementara menunggu pemberitahuan kepada keluarga. – Mynewshub
Sumber: Associated Press, NBC New York
