Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, Khairil Izani Khaizalullinudin yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Puncak Alam sejak 3 hari lalu akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan di tebing sungai, Sungai Buloh hari ini.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung sebelum mula disedari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama yang melakukan pencarian di lokasi terbabit.
Artikel berkaitan: 2 Pelajar IPG Ditemui Lemas Ketika Sertai Aktiviti Berkayak Di Kawasan Pantai Merdeka
Artikel berkaitan: 2 Lelaki Jatuh Empangan Sebab Nak Curi Kabel, Seorang Hilang Dikhuatiri Lemas
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa yang dilaporkan hilang pada Selasa itu telah ditemukan pada jam 1 tengah hari tadi.

“Pasukan bomba PPDA bersama PBS Saujana Utama telah menemui mangsa di Sungai Buloh menghala ke Ijok selepas memulakan pencarian dari pusat kawalan bomba (PKB).”
“Pencarian bermula dari parit berhampiran Masjid Taman Alam Jaya sebelum bergerak kira-kira lima kilometer sehingga ke sungai berkenaan.”
Tambahnya, secara keseluruhan, jarak dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh kira-kira 10 kilometer.
“Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, masih berbaju cerah dan memakai seluar hitam,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM untuk tujuan bedah siasat.
“Kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”
Sumber : Sinar Harian
