Kalau selama ini kita selalu dengar tentang produk tempatan yang berjaya menembusi pasaran luar negara, kali ini usahawan wanita Malaysia pula membuktikan mereka mampu pergi lebih jauh.
Menerusi Women in Export (WiEX) Pavilion @ MIHAS 2026, perusahaan yang diterajui wanita berjaya merekodkan RM229 juta dalam jualan eksport berpotensi hasil sesi padanan perniagaan dan pameran selama empat hari.
215 Pertemuan B2B Libatkan Pembeli Dari 8 Negara

Menurut MATRADE, sebanyak 215 pertemuan B2B telah diadakan bagi menghubungkan usahawan wanita tempatan dengan pembeli serta pengedar antarabangsa.
Antara negara yang terlibat ialah Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan, China, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Myanmar.
Malah, syarikat milik wanita dari Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang** mencatatkan nilai jualan gabungan sebanyak RM129.84 juta.
Antara produk yang mendapat perhatian termasuk makanan ringan, kopi, teh, koko dan pakaian sukan.
Pendekatan WoG Bantu Usahawan Kembangkan Perniagaan Bernilai Tinggi

WiEX @ MIHAS 2026 turut mengetengahkan pendekatan Whole-of-Government (WoG) bagi membantu perusahaan yang diterajui wanita berkembang ke dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.
Inisiatif ini diterajui oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dengan sokongan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia).
Ia turut menghimpunkan beberapa kementerian dan agensi pembangunan termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp, NCER, Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan UDA Holdings Bhd.
Pendekatan ini bertujuan memastikan usahawan wanita dapat bergerak daripada fasa membina kapasiti di pasaran tempatan kepada penempatan produk di pasaran antarabangsa.
Sumbangan Usahawan Wanita Cecah RM136.9 Bilion

Menurut Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, peranan usahawan wanita bukan sekadar pelengkap kepada ekonomi negara.
Malah, katanya, ia merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia.
“Sumbangan usahawan wanita bukan sekadar cerita sampingan dalam ekonomi kita; ia merupakan sebahagian penting daripadanya.”
Menurut beliau, berdasarkan laporan Economic Census 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), wanita memiliki 20.1 peratus perniagaan di Malaysia, selain menjana RM136.9 bilion output dan menyediakan pekerjaan kepada hampir sejuta orang.
Beliau berkata walau bagaimanapun terdapat ruang untuk meningkatkan tahap kesediaan eksport dalam kalangan usahawan wanita.
Atas sebab itu, MATRADE meneruskan inisiatif WiEX bersama HAWA Malaysia bagi menyediakan ekosistem merangkumi pembangunan kapasiti, akses pasaran dan pengiktirafan dalam satu platform.
Lebih 300 Peserta Sertai WiEX Forum 2026
Selain peluang perniagaan, WiEX Forum 2026 turut diadakan dengan penyertaan lebih 300 peserta.
Forum yang membawa tema “Thriving through Uncertainty: Adapt, Compete, and Grow” itu menampilkan pemimpin industri dan pengasas perniagaan yang berkongsi pengalaman serta strategi untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Antaranya ialah Low Ngai Yuen, Pengarah Urusan AEON 360, yang berkongsi mengenai standard pemerolehan runcit dan strategi integrasi rantaian bekalan.
Pengasas NOIR, Datin Eryca Baiduri (Madammu) pula turut berkongsi mengenai perjalanan mengembangkan perniagaan digital dari rumah menjadi jenama kecantikan dan kesihatan yang boleh berkembang ke pasaran global.
Dalam majlis itu,sesi panel yang dikendalikan personaliti TV, Azaria Tagaya, pula menghimpunkan empat pengasas perniagaan iaitu Amnah Shari, Tengku Norhanim Tengku Othman, Jesmine Tan dan Amy Blair.
Mereka berkongsi pengalaman serta tip praktikal tentang cabaran membawa perniagaan ke pasaran eksport, termasuk mengekalkan kualiti produk, memastikan pematuhan peraturan dan mengurus rantaian bekalan di pasaran luar negara.
