PUTRAJAYA: ementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memohon kira-kira RM14.39 bilion bagi peruntukan pembangunan Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, namun siling bayangan yang diberikan hanya sekitar RM8.3 bilion, kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perbezaan itu mewujudkan jurang kira-kira RM6 bilion, antara permohonan kementerian dan siling peruntukan yang dibayangkan.
“Itu bayangan yang mereka (Kementerian Kewangan) (MOF) berikan. Jurang ini mencerminkan satu realiti penting dalam pengurusan kerajaan ketika ini, apabila keperluan sentiasa lebih besar daripada sumber yang tersedia.
“Saya juga membayangkan bahawa ruang fiskal yang kita terima kali ini mungkin tidak sebesar beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi saya berharap saya silap,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata KKDW perlu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat paling besar kepada rakyat dengan mengamalkan pendekatan spending better dan bukan sekadar meningkatkan perbelanjaan.
“Namun, berapa pun jumlah yang akhirnya kita terima, kita mesti melihat belanjawan bukan sekadar sebagai proses membahagikan peruntukan. Belanjawan ialah proses menukar sumber yang terhad kepada nilai awam yang paling besar,” katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau mahu semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW menilai semula program sedia ada, bagi memastikan masalah yang hendak diselesaikan masih wujud, pendekatan yang digunakan masih relevan dan tidak berlaku pertindihan dengan program atau agensi lain.
“Program yang besar juga tidak semestinya program yang paling berkesan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata sumber perlu dialihkan daripada program yang memberi nilai rendah kepada perkara yang benar-benar menyelesaikan masalah rakyat, terutama dalam keadaan kekangan kewangan, tenaga kerja dan kapasiti pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan yang baik tidak semestinya menghasilkan pembangunan yang baik sekiranya keupayaan melaksanakannya lemah, dengan kelewatan pengambilan tanah, penyelarasan utiliti, masalah kontraktor dan keputusan tertangguh antara perkara yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek.
“Keadaan ini mewujudkan jurang pelaksanaan antara apa yang dirancang dengan apa yang benar-benar berlaku di lapangan,” katanya.
Beliau berkata KKDW juga perlu mengelak daripada memulakan terlalu banyak projek pada satu-satu masa, sehingga sumber disebarkan terlalu nipis dan menyebabkan terlalu banyak projek bermula tetapi terlalu sedikit dapat diselesaikan.
“Lebih baik kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar diperlukan, menyediakan sumber yang mencukupi dan memastikan ia disempurnakan dengan baik daripada mengejar jumlah projek yang besar tetapi meninggalkan terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pendekatan itu penting kerana sifat jurang pembangunan luar bandar kini semakin kompleks, khususnya apabila kawasan yang masih belum dibangunkan terletak di lokasi lebih terpencil, mempunyai populasi kecil dan berselerak serta melibatkan kos penyampaian yang lebih tinggi.
“Pembangunan desa hari ini tidak boleh lagi diukur hanya daripada apa yang kita bina atau berapa banyak yang kita belanjakan. Hari ini kita mesti melihat apa yang berubah selepas itu,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata libat urus dengan MOF perlu terus diperkemas bagi menjelaskan keutamaan KKDW dan memastikan peruntukan yang diterima dapat disalurkan kepada keperluan yang memberi impak terbesar kepada masyarakat luar bandar.
“Saya pernah menekankan bahawa keterlibatan itu amat penting. Sebab itu baru-baru ini kita (KKDW) telah mengadakan sesi penyelarasan bersama MOF untuk menyampaikan hasrat kita, menyelesaikan, menjelaskan keutamaan KKDW dan mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan dan saya minta untuk perhalusi lagi,” katanya.
-- BERNAMA